Pasukan kebangsaan Kemboja berharap kehadiran Keisuke Honda mampu membawa tuah seterusnya memberi dimensi baharu dalam corak permainan pasukan. Aksi Kumpulan A Piala Suzuki AFF menentang Myammar pada hari ini jam 7.30 petang waktu Malaysia akan diadakan di Stadium Mandalar Thiri, Myanmar.
Honda yang dilantik sebagai Ketua Jurulatih Kemboja pada Ogos lalu tidak dapat hadir bersama pasukan pada aksi pertama menentang Malaysia di Stadium Olimpik, Phnom Penh.
Beliau yang sebelum ini masih terikat komitmen dengan kelab Liga Australia, Melbourne Victory hanya terpaksa berkomunikasi menerusi penstriman video untuk berbincang mengenai corak permainan dengan pembantu beliau, Felix Gonzalez.
Bekas bintang Piala Dunia Jepun itu sebelum ini telah mencetuskan fenomena baharu kepada bola sepak negara Angkor Wat tersebut apabila kehadirannya di tepi padang berjaya membawa aura dan semangat luar biasa kepada pemain dan penyokong Kemboja.
Pembantu jurulatih pasukan Felix Gonzalez berkata, beliau percaya kehadiran bekas pemain tengah AC Milan dan CSKA Moscow itu sedikit sebanyak akan memberi kekuatan kepada pemain ‘skuad Angkor Wat’ menjelang perlawanan itu nanti.
“Honda akan tiba di sini untuk perlawanan esok,” kata Felix Dalmas kepada Asean Football.
“Dia tahu apa yang sedang berlaku dalam pasukan dan kami sentiasa berhubung menerusi panggilan video untuk berbincang mengenai persediaan pasukan dan bagaimana harus pasukan perlu bermain.”
Katanya lagi, “Kami memperkenalkan konsep baru kepada pasukan. Perubahan konsep dan proses penyesuaian diri pasti akan mengambil masa untuk menunjukkan hasil.”
“Tetapi ini adalah permulaan dari kaedah baru dan kami harap kami akan dapat terus mempamerkan peningkatan.”
Tugas berat menanti Kemboja dengan misi untuk mengutip tiga mata penuh sekaligus dapat memperbaiki kedudukan untuk kembali bersaing dalam kumpulan A bersama Malaysia, Vietnam, Myanmar dan Loas.
Kemboja kini menduduki tangga ketiga di belakang pendahulu Vietnam dan Malaysia manakala Laos berada di tangga keempat.