Previu Piala AFF: Harimau Malaya Wajib Jadikan Laos ‘Santapan’ Di Bukit Jalil

Harimau Malaya

Harimau Malaya pastinya melangkah ke perlawanan kedua Kumpulan A, kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 dengan sedikit keyakinan apabila akan bertemu lawan yang dianggap kerdil, Laos.

Bukan memperkecilkan kemampuan lawan, namun melihatkan prestasi sepanjang 2018 ini, Laos gagal mencatatkan sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan yang telah dilalui.

Untuk rekod, Thimsad tumbang dalam enam perlawanan dan terikat dengan satu keputusan seri ketika menentang Bangladesh dalam aksi persahabatan sekitar bulan Mac yang lalu.

Untuk Malaysia, selepas merekodkan kemenangan yang ‘cukup-cukup makan’ ke atas Kemboja tempohari, Tan Cheng Hoe perlu mula menyerlahkan kemampuannya dalam aksi kedua ini.

FotoL FAM

Tempohari, skuad kebangsaan tampak bergelut beraksi di stadium lawan dan kini apabila kembali ke kandang sendiri, sudah pasti ramai yang mahukan Harimau Malaya kembali mengaum.

Walaubagaimanapun, barisan pemain negara bakal berdepan dengan anak didik kepada seorang jurulatih yang pernah beraksi di Malaysia dan pernah membimbing pasukan di Liga Malaysia.

Pertengahan Oktober yang lalu, Loas mengejutkan ramai pihak dengan pelantikan ketua jurulatih baharu yang memiliki rekod agak baik di rantau ini iaiu V. Sundramoorthy dari Singapura.

Pernah menjulang trofi Liga Super musim 2013 bersama-sama Lions XII, Sundramoorthy pastinya sudah ‘masak’ dan mengenali sebahagian besar kemampuan pemain-pemain negara.

Rekod pertembungan

Kali terakhir skuad kebangsaan menentang Laos adalah pada awal Oktober 2015 dalam perlawanan persahabatan yang berkesudahan dengan kemenangan 3-1 berpihak kepada Harimau Malaya.

Ia adalah kemenangan pertama skuad negara selepas rentetan perlawanan tanpa kemenangan dan gol skuad negara telah dijaringkan oleh Azamuddin Akil dan dua gol Christie Jayaseelan.

Foto: FAM

Sejak 2008, Malaysia telah bertemu Laos sebanyak 4 kali dengan semua kemenangan berpihak kepada skuad negara. Kemenangan terbesar adalah pada tahun 2010, Malaysia 5-1 Laos.

Namun, sekadar untuk mengingatkan kepada para pemain yang Malaysia pernah tumbang kepada Laos dalam kejohanan Sukan SEA 1997 walaupun dibarisi pemain-pemain yang hebat seperti Khairul Azman Mohamed, Azman Adnan dan Dollah Salleh.

Rekod pertemuan di Piala AFF

Thimsad hanya sekali terlepas untuk beraksi di kejohanan Piala AFF iaitu pada edisi 2016 dan sejak kejohanan berlangsung, Malaysia dan Laos telah bertarung dalam enam perlawanan.

Menariknya, dua kali Laos berjaya mencuri mata daripada Malaysia dengan keputusan seri iaitu pada edisi 1998 dan 2002. Malaysia gah dengan 4 kemenangan yang mana semuanya 3 gol dan lebih.

Kemenangan terbesar ke atas Laos adalah pada edisi 2000 selepas membenam lawannya itu dengan lima gol tanpa balas, manakala margin kecil adalah pada edisi 2008 dengan keputusan 3-0.

Foto: Goal

Laos tidak pernah merekodkan lebih daripada 1 gol dengan hanya 3 gol terhasil dalam enam aksi tersebut, sementara untuk Malaysia, 18 gol telah berjaya dicipta ketika menentang lawan tersebut.

Rekod semasa

Lima aksi terkini skuad Malaysia (M-M-K-M-M)

  • 10 September: Menang vs Kemboja 3-1 (Persahabatan)
  • 12 Oktober: Menang vs Sri Lanka 4-1 (Persahabatan)
  • 16 Oktober: Kalah vs Kyrgyzstan 0-1 (Persahabatan)
  • 3 November: Menang vs Maldives 3-0 (Persahabatan)
  • 8 November: Menang vs Kemboja 1-0 (Piala AFF)

Lima aksi terkini skuad Laos (K-K-K-K-K)

  • 11 September: Kalah vs UAE 0-3 (Persahabatan)
  • 1 Oktober: Kalah vs Bangladesh 0-1 (Piala Bangabandhu)
  • 3 Oktober: Kalah vs Filipina 1-3 (Piala Bangabandhu)
  • 16 Oktober: Kalah vs Mongolia 1-4 (Persahabatan)
  • 8 November: Kalah vs Vietnam 0-3 (Piala AFF)
Apa kata jurulatih

Tan Cheng Hoe

“Saya akan buat sedikit pertukaran memandangkan kelemahan kita di serangan agak ketara ketika aksi pertama. Mungkin ia (rombakan) membabitkan pertukaran pemain atau perubahan posisi pemain, itu kita kena tunggu malam esok.”

“Saya mahu pasukan gunakan kesempatan beraksi di laman sendiri dengan sebaik-baiknya dan memburu seberapa banyak gol, sebelum kita berdepan pasukan kuat Vietnam dan Myanmar.”

V. Sundramoorthy

“Walaupun bukan pasukan pilihan, sudah tentu kami berharap kami mampu menang. Kami sedar kemampuan kami. Harapan kami memang tinggi untuk mendapatkan tiga mata.”

“Kami perlukan mata untuk memperbaiki kedudukan selepas berada di posisi terbawah kumpulan. Walaupun beraksi di gelanggang lawan, tetapi kami tetap yakin tiada perkara yang mustahil (untuk menang),”

Pemain tumpuan

Sekali lagi Semuanya BOLA memilih Mohamadou Sumareh sebagai pemain tumpuan. Dalam perlawanan menentang Kemboja tempohari, pretasinya menyerlah berbanding rakan sepasukan lain.

Dengan kemampuannya untuk memulakan gerakan fast break ke kubu lawan, barisan pertahanan Laos mungkin bakal bergelut untuk mengawal gerak geri ‘The Keli Boy’ pada malam ini.

Foto: Kosmo

Cheng Hoe dijangka akan mengerah lagi kudrat pemain kelahiran Gambia ini untuk mengasak Laos dan jika segala perancangan berhasil, Sumareh mungkin berpeluang meledak gol.

Sumareh juga pastinya dahagakan jaringan untuk kejohanan pertamanya selepas percubaannya ketika menentang Kemboja baru-baru ini hanya sekadar singgah di tiang gol.

Ramalan Semuanya BOLA

Sundramoorthy pastinya sangat arif mengenai kemampuan majoriti pemain-pemain Malaysia dan jika Laos mengikut segala arahannya, Malaysia mungkin akan berdepan dengan kejutan.

Ketika berdepan Vietnam, penjaga gol Laos beberapa kali mempamerkan aksi baik menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya lawan dan ini adalah tunjang kekuatan mereka.

Dengan diakui Cheng Hoe barisan hadapan yang agak tumpul, mungkin sedikit perubahan peranan atau pemain bakal dilakukan pada aksi malam ini untuk membolehkan gawang Laos dirobek.

Para pemain Harimau Malaya juga tidak boleh leka dan terlalu yakin mampu untuk menjadikan Laos sebagai ‘santapan’ di kandang sendiri, jika tidak ianya bakal memakan diri sendiri.

Semuanya BOLA menjangkakan tiada pertukaran pemain akan berlaku dan Cheng Hoe akan memberikan peluang kedua kepada barisan pemain yang telah beraksi di Pnhom Penh tempohari.

Ini kerana, antara masalah ketika perlawanan pertama menentang Kemboja adalah keadaan padang yang tampak telah menganggu prestasi dan menyukarkan kedua-dua pasukan.

Foto: FAM

Selain itu, Cheng Hoe dan Sundramoorthy pernah bertarung ketika di Liga Premier 2014 bersama Kedah dan Negeri Sembilan dengan masing-masing telah memperolehi satu kemenangan.

Dan Piala AFF ini umpama aksi penentuan antara Cheng Hoe dan Sundramoorthy, siapa antara mereka berdua akan mendapat kelebihan kemenangan dalam pertembungan ketiga mereka.

Ramalan: Malaysia 3-0 Laos

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN