Quantcast

BERITA

AFCON: Zaha Bawa Ivory Coast Ke Suku Akhir, Tunisia Singkir Ghana

Saingan peringkat 16 pasukan terakhir untuk African Cup of Nations (AFCON) kini telah menemui para pemenangnya.

Kejutan demi kejutan terus dilakar dalam kejohanan ini. Selepas tersingkirnya Mesir dan juga maranya Madagascar, ada pasukan pilihan lain yang turut tersingkir.

Ivory Coast berjaya melepasi halangan di pusingan ini untuk mara selepas mereka menewaskan Mali.

Dalam laporan BBC Sport, Ivory Coast dilihat berhempas-pulas dalam usaha untuk menguasai perlawanan ini di 45 minit pertama.

Namun begitu, usaha mereka berjaya membuatkan hasil di separuh kedua menerusi jaringan Wilfried Zaha.

Beliau menyudahkan hantaran sepakan percuma daripada Sylvain Gbohouo pada minit ke-76 untuk menyaksikan pasukannya mara dengan kemenangan 1-0 sahaja.

Posted by Total Africa Cup of Nations on Monday, July 8, 2019

Kemenangan itu membawa Ivory Coast ke perlawanan suku akhir yang cukup menarik apabila mereka menentang Algeria kelak.

Satu lagi aksi menyaksikan Tunisia mencatatkan kejutan apabila mereka menewaskan Ghana.

Gol dalam perlawanan ini juga terhasil pada lewat permainan apabila Tunisia berjaya mendahului menerusi jaringan Taha Yassine Khenissi pada minit ke-73.

Beliau menyudahkan hantaran lintang dari rakan sepasukan untuk membolehkan negaranya mendahului 1-0.

Tunisia sepatutnya boleh menang pada 90 minit permainan sahaja namun pada masa kecederaan separuh masa kedua, tampanan kurang kemas Rami Bedoui membawa padah.

Tampanan tersebut termasuk ke dalam gawang beliau sendiri untuk menjadikan jaringan 1-1.

Pemenang terpaksa dicari menerusi sepakan penalti dan penjaga gol Tunisia, Farouk Ben Mustapha menjadi wira selepas menafikan sepakan dari Caleb Ekuban.

Tunisia layak selepas menewaskan Ghana di penentuan sepakan penalti dengan jaringan 5-4.

Berikut merupakan aksi suku akhir bagi AFCON 2019:

  • Senegal lawan Benin
  • Nigeria lawan Afrika Selatan
  • Ivory Coast lawan Algeria
  • Madagascar lawan Tunisia