Quantcast

BERITA

AFCON 2019: Madagascar Cipta Sejarah Mara Ke Suku Akhir Di Penampilan Pertama

Madagascar terus mencipta kejutan apabila menewaskan Congo melalui penentuan sepakan penalti untuk mara ke peringkat suku akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) di Iskandariah pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Tempoh perlawanan sebenar berakhir dengan dramatik pada kedudukan 2-2.

Ini merupakan kali pertama Madagascar layak ke pusingan akhir AFCON, dan kejayaan ini melangkaui jangkaan ramai pemerhati bola sepak Afrika.

Antara kejutan yang dicipta oleh Madagascar sepanjang kejohanan ini ialah dengan mengatasi Nigeria untuk menjuarai Kumpulan B.

Walaupun dikecewakan dengan jaringan minit akhir Congo pada awal pagi tadi, Madagascar tidak menyerah kalah.

Malah pasukan ini terus berjuang di masa tambahan sebelum memastikan kejayaan milik mereka melalui penentuan sepakan penalti.

Sebelum itu Madagascar kelihatan akan melangkah mudah ke suku akhir selepas jaringan Faneva Andriatsima meletakkan mereka 2-1 di hadapan pada minit ke-77 perlawanan.

Ini adalah selepas Cedric Bakambu memadam kelebihan awal jaringan Ibrahim Amada yang dihasilkan seawal minit ke-9 perlawanan.

Chancel Mbemba memastikan Congo mengheret perlawanan ke masa tambahan, namun dikecewakan oleh Marcel Tisserand dan Yannick Bolasie yang merembat liar di penentuan sepakan penalti.

Di satu lagi perlawanan pusingan kalah mati yang berlangsung pada awal pagi tadi, Algeria menewaskan Guinea dengan jaringan 3-0.


Algeria mendahului 1-0 pada babak pertama perlawanan melalui Youcef Belaili. Kemudian giliran pemain sayap Manchester City, Riyad Mahrez melebarkan kedudukan pada minit ke -57 perlawanan.

Adam Ounas melengkapkan kemenangan 3-0 Algeria pada minit ke-82 selepas menyempurnakan hantaran Youcef Attai.