Sebut nama Wimbledon, peminat sukan tenis mungkin akan segera mengaitkannya dengan Wimbledon Open; kejohanan tenis tertua di dunia (sejak tahun 1877).
Bagi peminat bola sepak, nama Wimbledon sinonim dengan ‘The Crazy Gang’; pemain-pemain Wimbledon FC era lewat 80-an dan awal 90-an.
The Crazy Gang merupakan label yang diberi oleh media Inggeris kepada pemain-pemain Wimbledon FC yang gemar melakukan pranks ‘gila-gila’ terhadap pengurus pasukan mereka tetapi ‘ganas dan gila’ ketika beraksi di padang.
Antara ahli-ahli terkenal The Crazy Gang adalah Vinnie Jones, John Fashanu, Lawrie Sanchez, Dennis Wise dan Mick Harford.
Terkenal dengan falsafah bola sepak long ball, Wimbledon FC paling diingati oleh penyokong Liverpool. Ini kerana semasa final Piala FA 1988, Wimbledon FC pernah membuat kejutan dengan mengalahkan Liverpool (juara divisyen 1 ketika itu) 1-0.
Wimbledon FC berpecah
13 tahun kemudian pada tahun 2001, Wimbledon FC mengejutkan peminat bola sepak Inggeris sekali lagi apabila mengumumkan hasrat mereka untuk berpindah 90km utara ke kawasan baru, Milton Keynes di Buckinghamshire.
Hasrat ini sudah tentulah ditentang oleh majoriti penyokong Wimbledon FC.
Penyokong Wimbledon FC yang menentang lantas membentuk AFC Wimbledon pda tahun 2002. Untuk pengetahuan anda, penyerang Kedah dari New Zealand, Shane Smeltz (gambar bawah) pernah bermain untuk AFC Wimbledon sebelum ini.
Setahun kemudian pada tahun 2003, hasrat Wimbledon FC ini menjadi kenyataan. Selepas berpindah ke Milton Keynes, Wimbledon FC menjadi MK Dons.
‘Merempat’ di halaman sendiri
Wimbledon FC dahulunya bermain di Plough Lane sejak 1912 sehingga 1991.
2 tahun selepas tragedi Hillsborough pada tahun 1991, Wimbledon FC terpaksa berpindah stadium kerana Plough Lane tidak menepati kriteria keselamatan Laporan Taylor.
Laporan Taylor adalah laporan inkuiri yang mewajibkan semua stadium bola sepak di England mempunyai tempat duduk penonton.
Akibatnya, Wimbledon FC terpaksa berkongsi stadium dengan Crystal Palace di Selhurst Park.
Kesukaran untuk mendapat tapak stadium baru inilah yang mendorong Wimbledon FC untuk berpindah ke Milton Keynes pada tahun 2003.
AFC Wimbledon yang ditubuhkan oleh bekas penyokong Wimbledon FC yang tidak mahu kelab mereka berpindah terpaksa berkongsi sewa di Kingsmeadow dengan sebuah kelab kecil, Kingstonian pula.
Mahu berpindah ke ‘rumah asal’
Selepas bertahun-tahun bermain di Kingsmeadow, kini AFC Wimbledon mahu berpindah ke Plough Lane; tempat sama mereka menonton The Crazy Gang beraksi pada era 80-an dan 90-an dahulu.
Namun sayang, tapak stadium asal telah menjadi perumahan.
Antara alternatif tapak stadium baru AFC Wimbledon di Plough Lane adalah Wimbledon Greyhound Stadium. Ia merupakan tapak perlumbaan anjing; salah satu sukan popular di Britain.
Rancangan mendapat campur tangan Datuk Bandar London
Setiap pembinaan stadium pasti akan menemui masalah.
Walaupun AFC Wimbledon telah diberi kebenaran oleh Majlis Tempatan Merton untuk memulakan rancangan membina stadium sendiri pada Disember 2015, pada Mac 2016 rancangan mereka mendapat penentang pertama.
Penentang mereka bukan calang-calang. Mereka adalah Majlis Tempatan Wandsworth, jiran Majlis Tempatan Merton.
Malah untuk menghalang rancangan AFC Wimbledon ini, Majlis Tempatan Wandsworth siap meminta campur tangan dari Datuk Bandar London, Boris Johnson lagi.
Mereka menghalang rancangan pembinaan stadium baru AFC Wimbledon kerana dikhuatiri akan menganggu lot-lot kedai sedia ada. Dikhabarkan selain stadium baru AFC Wimbledon, sebuah pasaraya dan rumah flat akan dibina serentak.
Masalah selesai
Namun, pada hari artikel ini ditulis (16 Ogos 2016), Datuk Bandar London yang baru, Sadiq Khan mengumumkan keputusan pembinaan stadium AFC Wimbledon itu akan diambil alih Majlis Tempatan Merton.
Akhirnya AFC Wimbledon berjaya mendapatkan hak untuk membina stadium mereka sendiri! Kapasiti stadium baru tersebut adalah 20,000 penonton.
Bagi penyokong AFC Wimbledon, kepulangan mereka ke Plough Lane ibarat sirih pulang ke gagang. Plough Lane sudah menjadi spiritual home untuk AFC Wimbledon. Malah ia menepati salah satu sasaran kelab, yakni kembali ke Plough Lane.
Dalam League One, AFC Wimbledon akan bertemu pula musuh tradisi mereka, MK Dons. Agak sedih bila memikirkan bagaimana sebuah kelab boleh berpecah menjadi dua.
Tetapi dari segi nilai tradisi bola sepak, penubuhan dan perkembangan AFC Wimbledon boleh memberi inspirasi kepada peminat-peminat bola sepak Malaysia untuk menubuhkan kelab bola sepak mereka sendiri; dengan syarat mereka perlu bekerja keras.