AFC: Ubaidullah Shamsul Impi Kesebelasan Utama Untuk Hadapi Stallion Laguna

Pertahanan muda Terengganu, Ubaidullah Shamsul Fazili kini menjadi antara pemain paling bersemangat untuk mengharungi saingan AFC peringkat Kumpulan G dengan pertemuan seterusnya berdepan Stallion Laguna malam ini di Stadium Bola Sepak Binan.

Musim ini boleh dikatakan Ubaidullah sedang menikmati detik terbaik beliau dalam karier bola sepak profesional selepas memberi sumbangan cukup besar buat Terengganu serta pasukan kebangsaan di saingan domestik serta antarabangsa.

Bersama Terengganu, Ubaidullah berjaya memastikan pasukan tersebut mara ke pusingan akhir Piala Malaysia 2023, selepas aksi beliau sangat menyakinkan ketika diberi peranan dalam kesebelasan utama.

Di pentas antarabangsa, pertahanan muda ini juga tampil menyakinkan untuk memastikan skuad bawah 23 (B-23) layak ke pentas Piala Asia B-23 tahun hadapan.

Ketika ini, Ubaidullah menjadi antara pemain yang dibawa pengendali Terengganu iaitu Tomislav Steinbruckner ke Filipina dalam misi mereka untuk merebut tiga mata penting berhadapan Stallion Laguna.

Terdahulu, Terengganu sekadar terikat seri 2-2 ketika aksi berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) bersama pasukan tersebut, dan sudah tentu Steinbruckner mempunyai perancangan tersendiri bagi mendapatkan semula tiga mata penting.

Melihat kepada perlawanan malam ini, Ubaidullah memasang impian tersendiri untuk memastikan serangan pasukan lawan dapat disekat jika beliau diberi peluang dalam kesebelasan utama.

Walaupun begitu, pemain berusia 20 tahun ini mengakui ianya bukan suatu tugas yang mudah sebenarnya selepas melihat kepada perlawanan lalu sewaktu berdepan Stallion Laguna di laman sendiri.

Untuk rekod, Ubaidullah diturunkan dalam kesebelasan utama untuk membentuk gandingan bersama Shahrul Nizam di posisi pertahanan tengah pada perlawanan lalu dan beliau beraksi sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

Malah, Ubaidullah terus diberi kepercayaan untuk bermain pada perlawanan separuh akhir lalu bagi saingan Piala Malaysia 2023 sebelum membawa Terengganu mara ke final bersama aksi cukup menyakinkan.

“Alhamdulillah saya diberi kepercayaan untuk beraksi dalam kesebelasan utama ketika berdepan skuad The City Boys Jumaat lalu sebelum pasukan mara ke pentas final yang pertama saya sepanjang karier setakat ini.

“Sejujurnya semangat yang sama akan saya bawa berdepan kelab Filipina itu sekiranya sekali lagi diberi tanggungjawab memikul tugas berkenaan, harap kemenangan berpihak kepada kami,” kata beliau menerusi laporan Berita Harian

Pada masa sama, bintang muda tersebut turut mengakui masih banyak perkara perlu dipelajari dirinya untuk bergelar pemain lebih berkualiti dan enggan terbuai akan pujian.

“Saya tidak boleh berada dalam keadaan yang selesa, namun sebagai pemain, saya sentiasa bersedia jika diberikan peluang untuk beraksi.

“Terima kasih kepada semua peminat yang sentiasa menyokong dan memberikan kata-kata semangat kepada kami, mereka adalah sebahagian daripada bola sepak,” kata Ubaidullah akhir sekali.

Sumber:
Berita Harian

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN