Quantcast
AFC Solidarity Cup, Malaysia 2016: Kelahiran Semula AFC Challenge ?
KAJIAN & FAKTA

AFC Solidarity Cup, Malaysia 2016: Kelahiran Semula AFC Challenge ?

Friday, 11 Nov 2016

Bagi penduduk kotaraya Kuching, Sarawak pasti mengetahui kejohanan AFC Solidarity Cup yang sedang berlangsung. Kejohanan yang disertai 7 negara ini telah pun bermula sejak 2 November lalu. Namun, kami tertanya-tanya kenapa tiada liputan meluas?

AFC buat ‘U-turn’?

Pada hemat penulis, memang benar Konferedasi Bola Sepak Asia (AFC) buat pusingan U. Pada tahun 2014, AFC memansuhkan AFC Challenge Cup yang hanya sempat diadakan 5 kali. Kejohanan AFC Challenge Cup berlangsung buat kali pertama pada 2006 dengan menyaksikan Bangladesh menjadi hos. Tajikistan menjadi juara sulung kejohanan tersebut.

AFC Challenge Cup ini diadakan 2 tahun sekali yang disertai oleh negara-negara kecil anggota AFC. Antara negara-negara kecil dimaksudkan AFC ialah negara yang bukan bola sepak sebagai sukan utama.

Kebanyakan negara tersebut merupakan negara Asia Selatan yang lebih meminati kriket seperti India, Maldives, Bangladesh. Ada juga negara Asia Tengah, Asia Tenggara dan Asia Timur.

Korea Utara menjuarai dua kali edisi AFC Challenge Cup pada 2010 di Sri Lanka dan 2012 di Nepal. India memenanginya pada 2008 sewaktu menjadi kejohanan edisi kedua. Palestin menjadi juara terakhir pada 2014 sewaktu Maldives menjadi tuan rumah.

Kelebihan menjuarai AFC Challenge Cup ialah menjamin tiket ke Piala Asia tahun seterusnya. Semua maklum, negara kecil ini agak sukar bersaing lebih jauh dalam kelayakan.

Sebagai alternatif, AFC mewujudkan kejohanan ini untuk memberikan negara kecil peluang ke Piala Asia. Itu dibuktikan dengan Palestin layak pada Piala Asia 2015 di Australia.

Begitu juga dengan India (juara 2008) dan Korea Utara (juara 2010) layak ke Piala Asia 2011 di Qatar.

img_20161111_110522

Kelahiran semula

Berikutan negara-negara kecil (dan berkedudukan bawah dalam ranking FIFA) sukar membuat perlawanan persahabatan, AFC terpanggil mewujudkan kejohanan seperti ini semula.

6 negara tersingkir dalam Pusingan Pertama Kelayakan Piala Dunia 2018 / Piala Asia 2019 dijemput menyertai kejohanan ini. Negara tersebut ialah, Nepal, Sri Lanka, Pakistan, Macau, Brunei dan Mongolia.

3 lagi negara dijemput pula ialah Laos, Bangladesh dan Timor Leste. Ketiga-tiga negara ini tersingkir daripada Pusingan Play-Off Kelayakan Piala Asia 2019.

Meskipun 9 negara dijemput dan undian telah diadakan, Bangladesh dan Pakistan telah menarik diri. Kedua-dua negara ini telah diundi dalam Kumpulan A bersama Brunei, Nepal dan Timor Leste. Kumpulan B pula menyaksikan Macau, Laos, Sri Lanka dan Mongolia.

Nepal menjuarai Kumpulan A manakala Brunei menjadi naib juara. Kumpulan B pula dijuarai oleh Macau dan diikuti oleh Laos. Semi-final akan melihatkan pertembungan antara Nepal menentang Laos pada 12 November. Pada hari yang sama Macau akan menentang Brunei.

Namun, AFC tidak memberikan kuota Piala Asia kepada juara Solidarity Cup ini. Barangkali perubahan akan dibuat untuk Piala Asia 2023. Siapa tahu?

Kesimpulan

Usaha AFC ini amatlah dipuji kerana serius cuba membantu negara kecil dalam kalangan anggotanya. Semua maklum bahawa Asia ini benua besar dan memerlukan perhatian lebih mendalam. Sebab itulah AFC amat menitikberatkan isu berkaitan seperti logistik dengan mewujudkan kejohanan sebegini.

Baca juga: Khairul Azman Mohamed, Kisah Di Sebalik Kegemilangan, Rasuah, Kebangkitan Dan Legasi

Kategori Artikel


Kongsi



Berita Bola Yang Menarik