Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa memuji langkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melancarkan Peta Hala Tuju atau Roadmap FAM yang diberi nama F:30 untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan bola sepak negara menjelang tahun 2030.
Katanya, FAM mampu melaksanakan semua perancangan yang disusun dalam peta hala tuju tersebut jika semua ahli gabungannya memberikan kerjasama dan bekerja keras untuk menjayakannya.
“Malaysia sebuah negara yang penting di benua ini dan pernah menjadi antara gergasi bola sepak di Asia. Jadi, AFC gembira menjadi sebahagian daripada pelancaran program jangka masa panjang ini.
“Secara tradisionalnya, Malaysia merupakan antara pasukan gergasi di ASEAN, sebab itu saya tertarik untuk melihat perancangan mereka dalam ‘road map’ ini,” katanya seperti dipetik dalam laman web AFC.
Shaikh Salman juga menganggap F:30 sebagai kerangka asas yang mampu membina ekosistem yang menggalakkan pertumbuhan bola sepak Malaysia. Malah, beliau memberi jaminan AFC sedia membantu FAM meningkatkan kualiti bola sepak negara.
“AFC bersedia untuk membantu FAM dalam apa jua segi kerana perancangan ini secara tidak langsung turut menguatkan lagi konfederasi bola sepak di benua ini.
“AFC juga memberi jaminan bahawa kami akan sentiasa berada bersama FAM dalam perjalanan penting ini bagi membantu meningkatkan lagi bola sepak di negara ini.
“Bagi pihak AFC, kami mendoakan agar Malaysia mendapat hasil daripada pelaburan ini,” katanya pada sidang media.
Pada majlis pelancaran itu, pembentangan F:30 dilakukan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam, bersama Pengarah Teknikal FAM, Peter De Roo, disaksikan lebih 200 anggota keluarga bola sepak tempatan terdiri daripada ahli gabungan FAM dan pengamal media.
Peta hala tuju itu terbahagi kepada tiga pelan strategik iaitu fasa pertama (2019-2022) untuk membina asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan, pembangunan modal insan dan infrastruktur disusuli fasa kedua (2023-2026) untuk mencapai peringkat Asia.
Fasa ketiga (2027-2030) pula bertujuan melahirkan pasukan kebangsaan yang bertaraf dunia.