Perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 di antara Korea Utara menentang Malaysia akan berlangsung di Thailand pada 10 November dan 13 November selepas FA Thailand sudah memberikan persetujuan untuk menjadi tuan rumah untuk kedua-dua perlawanan itu.
Stadium yang akan digunakan untuk perlawanan ini serta waktu sepak mula akan diumumkan kelak oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Setiausaha agung AFC, Dato’ Windsor John berkata, “Kami sangat bersyukur kerana FA Thailand memberikan sokongan mereka untuk mengadakan perlawanan ini. FA Thailand akan berkerjasama memastikan AFC mengekalkan integriti kesukanan dalam pertandingan kelayakan Piala Asia ini ”
Minggu lepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah memutuskan bahawa perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 di antara Korea Utara dan Malaysia akan berlangsung di gelanggang yang neutral pada bulan November depan.
Jadual asal yang ditetapkan berlangsung di Pyongyang sebelum ini telah ditunda kerana berlaku ketegangan politik diantara Malaysia dan Korea Utara dan juga pengharaman oleh Kerajaan Malaysia pada rakyatnya yang ingin berkunjung ke Korea Utara.
Dari segi kepentingan keadilan pertandingan, telah ditentukan bahawa kedua-dua perlawanan di antara kedua-dua negara akan dimainkan di gelanggang neutral yang sama, dengan Korea Utara sebagai ‘tuan rumah’ pada 10hb November dan perlawanan timbal balik Malaysia akan jadi ‘tuan rumah’ pada 13hb November.