AFC Mungkin Gantung Pemain Yang Terlibat Dalam Pergaduhan

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sedia mengambil tindakan menggantung serta merta terhadap mana-mana pemain dan pegawai  yang terlibat dalam insiden pergaduhan selepas tamat perlawanan persahabatan antarabangsa di antara skuad bawah 23 tahun negara dengan pasukan UAE kelmarin.

Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John berkata kepada Berita Harian, pihaknya mahu meneliti sepenuhnya laporan insiden pergaduhan itu sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kita masih menunggu laporan penuh insiden itu daripada FAM, kita tidak boleh membuat andaian siapa betul dan siapa salah. Siapa yang salah kita akan ambil tindakan tidak kira pemain Malaysia atau pemain UAE.

“Jika kita mahu ambil tindakan, kita tak perlu tunggu sehingga Sukan Asia selesai, jika kita dapat membuat keputusan awal, hukuman itu akan dijatuhkan serta merta, tidak boleh tangguh. Kita lihat seperti insiden pemain Uruguay, Luis Suarez yang digantung perlawanan Piala Dunia (2014) serta merta, tidak perlu tunggu kejohanan itu berakhir.

“Bagaimanapun, jika ada hukuman dikenakan, kita tidak akan menggantung pasukan kerana ini bukan kesalahan berkaitan tipu umur atau mengatur perlawanan, tindakan ini hanya membabitkan pemain dan pegawai saja jika bersalah,” katanya.

Insiden yang berlaku di Stadium Shah Alam itu turut membabitkan pegawai UAE yang dilihat memukul pemain Malaysia dengan menggunakan kerusi.

Windsor mengakui beliau kecewa apabila ada pegawai yang dikatakan terbabit dalam pergaduhan itu.

“Kita faham, ini perlawanan persahabtan terakhir untuk kedua-dua pasukan sebelum ke Sukan Asia, jadi setiap pemain pasti bersungguh-sungguh untuk merebut tempat.

“Tapi apa yang mengecewakan apabila pergaduhan itu membabitkan pegawai dan pemain simpanan yang menjadikan keadaan lebih buruk.

“Ini kerana jika pemain bergaduh di dalam padang, ia di bawah bidang kuasa pengadil untuk ambil tindakan, beliau boleh terus hentikan permainan. Saya berharap semua pihak ambil iktibar daripada insiden ini daripada berulang,” tegasnya.

Sementara itu, setiausaha agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengesahkan pihak sudah menyerahkan laporan perlawanan kepada badan induk Asia itu.

“Kita akan membuat tindakan susulan dengan AFC jika ada apa-apa keperluan selepas AFC meneliti laporan berkenaan.

“Kita juga mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bolasepak UAE (EFA) menerusi Setiausaha Agungnya, Mohammed Hazzam Al Dhaheri dan Naib Presidennya, Abdulla Naser Al Jneibi serta pihak AFC menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Windsor Paul John.

“Selepas perbincangan, FAM turut menerima surat rasmi daripada EFA yang menyatakan mereka meminta maaf di atas insiden pergaduhan terbabit serta memandang serius apa yang berlaku.

“Mereka juga akan melakukan siasatan dalaman bagi memastikan tindakan diambil terhadap pemain dan pegawai pasukan berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan di laman facebook rasmi FAM.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN