Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam mengesahkan aksi pertama perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung pada 6 Jun ini iaitu pada Hari Raya kedua telah dipinda kepada 7 Jun ini.
Menurut kenyataan daripada laman facebook rasmi FAM, pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah meluluskan permohonan mereka setelah mendapat persetujuan rasmi daripada wakil Timor Leste.
Malah, aksi kedua juga akan berlangsung di Kuala Lumpur kerana venue perlawanan di tempat lawan iaitu Stadium Perbandaran Dili, Timor Leste tidak menepati piawanan untuk menganjurkan perlawanan antarabangsa.
“FAM telah menerima kelulusan AFC untuk kedua-dua aksi timbal balik Pusingan 1 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 diadakan di Kuala Lumpur dan aksi pertama ditukar dari 6 ke 7 Jun,” kata kenyataan itu.
Selain itu, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe juga bakal menghadapi satu perlawanan persahabatan antarabangsa sebagai persiapan menghadapi pusingan pertama kelayakan Piala Dunia tersebut.
Umat Islam di negara ini dijangka menyambut Hari Raya pertama pada 5 Jun dan pemain yang terpilih mewakili negara nanti terpaksa mengorbankan cuti mereka bersama keluarga kerana tarikh perlawanan bertembung dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Sebagai persiapan menghadapi Timor-Leste, skuad Harimau Malaya akan menerima kunjungan Nepal untuk aksi persahabatan antarabangsa pada Ahad, 2 Jun 2019. Venue perlawanan akan dimaklum kemudian,” katanya.
Jika menang, Malaysia akan terus mara ke pusingan kedua menyertai 40 pasukan iaitu pasukan yang berada di ranking 1 hingga 34 asia serta 6 pasukan yang menang di pusingan pertama akan dibahagikan kepada 8 kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai 5 pasukan.
Hanya juara kumpulan dan 4 pasukan naib juara yang terbaik akan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 dan layak secara automatik ke kejohanan Piala Asia 2023. Manakala baki pasukan yang lain akan beraksi dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023.
Selain itu, skuad negara akan berdepan cabaran berlatih pada bulan puasa dan perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk membawa bekalan gol yang selesa ke tempat lawan.