Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak berkuasa Israel yang mencederakan penyokong bola sepak Palestin dalam aksi perlawanan yang tular baru-baru ini.
Sebelum ini, Semuanya BOLA melaporkan yang puluhan penyokong bola sepak Palestin ditembak dengan gas pemedih mata ketika aksi perlawanan melibatkan Belata FC dan Jerusalemitte Jablmokbr di Stadium Al Husseini.
Perlawanan yang dilangsungkan sempena aksi akhir Piala Palestin itu bertukar menjadi huru-hara apabila campur tangan pihak berkuasa Israel yang melancarkan gas pemedih mata menyebabkan perlawanan tidak dapat disambung sehingga tamat permainan.
Israel Tembak Gas Pemedih Mata Kepada Rakyat Palestin Ketika Perlawanan Bola Sepak
Melihat kepada kejadian itu, AFC amat mengecam tindakan Israel yang melanggar peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang tidak membenarkan penggunaan alat pemedih mata untuk mengawal penyokong.
AFC yang mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel itu mahukan tindakan yang setimpal diberikan kepada mereka dengan FIFA harus berlaku adil dalam memberikan hukuman.
Dalam masa yang sama, AFC turut menzahirkan solidariti kepada Palestin dan penyokong mereka yang terjejas akibat insiden tersebut.
Setakat ini, tiada laporan yang mengatakan terdapat penyokong yang mengalami kesan yang buruk atau terkorban hasil daripada serang gas pemedih mata tersebut.
Namun begitu, jumlah yang terkesan masih kekal kepada lingkungan puluhan penyokong sahaja.
Akan tetapi, tindakan ini seharusnya dikeji tidak kira siapa pun yang melakukannya. Jika ada kekecohan dalam kalangan penyokong sekali pun, pasti ada cara yang lebih baik untuk mengawalnya bukan?