Hasrat tuan rumah, Thailand untuk mengesahkan tiket ke suku akhir lebih awal tersekat apabila tewas kepada Australia dalam perlawanan kedua Kumpulan A, Kejohanan AFC B-23, malam tadi.
Gajah Perang meraih tiga mata pertama selepas menang bergaya ke atas Bahrain dengan keputusan 5-0 dan jika mereka berhasil mengatasi Australia, bukan sahaja tiket ke suku akhir sudah terjamin, malahan masih berpeluang untuk ke Sukan Olimpik.
Penjaring gol dalam perlawanan pertama mereka adalah Suphanat Mueanta dengan dua gol, Jaroensak Wonggorn (dua gol) dan satu gol daripada pemain tengah Buriram United, Supachok Sarachat.
Penyerang berusia 17 tahun, Suphanat Mueanta diharapkan akan meneruskan sentuhan jaringannya ketika berdepan The Socceroos namun sebaliknya berlaku apabila beliau gagal meledak gol.
Kehadiran lebih kurang 22,000 penyokong tuan rumah ke Stadium Rajamangala dilihat turut gagal memberi kelebihan dan membantu mereka untuk meneruskan rentak menguasai perlawanan.
Thailand tewas tipis 1-2 walaupun pada satu ketika mereka berjaya memimpin perlawanan selepas pemain sayap, Anon Amornlerdsak berhasil meledak gol pembukaan untuk Thailand di minit ke-24.
To the top 👌
Here's how things stand after matchday two of the #AFCU23 Championship.
— Subway Socceroos (@Socceroos) January 11, 2020
Hasil gerakan antara Supachok Sarachat dan Thitathorn Auksornsri di bahagian sayap kiri itu disudahkan dengan baik oleh pemain Bangkok United itu untuk Thailand mendahului perlawanan.
Tiga percubaan daripada Supachai Jaided, Suphanat Mueanta dan Kritsada Kaman gagal menemui jaring untuk memberi Thailand ruang lebih selesa untuk memenangi perlawanan kedua itu.
Penyerang Perth Glory, Nicholas D’Agostino akhirnya telah berjaya mengejutkan Thailand dan melegakan Australia apabila meledak gol penyamaan, dua minit sebelum babak pertama berakhir.
Dalam babak kedua, Thailand dipaksa bertahan oleh anak buah Graham Arnold apabila Australia mengambil alih penguasaan perlawanan untuk memburu kemenangan pertama selepas diikat Iraq dengan keputusan 1-1 dalam perlawanan pembukaan.
Skuad kendalian Akira Nishino itu menerima padah apabila sekali lagi, di minit ke-76, D’Agostino meledak gol kedua dan jaringan kemenangan The Socceroos untuk menafikan tiga mata buat lawan.
Untuk aksi penting pada 14 Januari depan, Thailand akan berdepan Iraq untuk menentukan nasib mereka, mungkin tanpa duo di jentera serangan, Supachai Jaided dan Suphanat Mueanta yang mengalami kecederaan selepas sejam perlawanan berlangsung.
Kredit Foto: The AFC