Ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun kebangsaan, Bojan Hodak menegaskan anak buahnya tidak gentar apabila turun menentang Arab Saudi petang ini dan mereka sudah melakukan persiapan awal melalui perlawanan persahabatan dengan pasukan dari Timur Tengah.
Bercakap kepada sidang media, Bojan berkata mereka akan turun selaku ‘underdog’ dan tidak menghadapi sebarang tekanan dan pada masa yang sama sedia melakar kejutan.
“Sebelum ini kami pilih bermain dengan pasukan yang baik pada aksi persahabatan kerana secara tidak langsung pemain dapat memperbaiki prestasi mereka terutamanya ketika bertemu Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
“Saya berkata demikian kerana negara Timur Tengah sangat baik dari segi fizikal dan sudah tentu mereka salah satu pasukan pilihan untuk kejohanan kali ini.
“Pada masa sama, saya telah memberitahu pemain bahawa ini adalah satu perkara yang baik kerana kita dianggap sebagai pasukan bukan pilihan dalam Kumpulan D.
“Kita merupakan pasukan underdog dan semua tidak memberikan harapan yang terlalu tinggi untuk kita. Perkara ini memberikan kelebihan kepada pasukan bermain dengan lebih selesa tanpa sebarang tekanan,” katanya seperti dipetik dalam Kosmo.
Sebagai rekod pada aksi persahabatan bulan ini, Malaysia tewas 0-2 dan terikat seri 1-1 ketika berdepan UAE serta kecundang 1-3 kepada Qatar, manakala tewas tipis 0-1 kepada kelab Muscat awal September lalu di Oman.
Bagaimanapun, Hodak turut menyuarakan bahawa beliau yakin dengan pencapaian pemainnya selepas mereka muncul juara dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-19 di Jakarta Julai lalu.
Pemain pertahanan Muhammad Al Imran Abdul Halim mengakui mereka tidak gerun untuk berdepan juara dua kali Arab Saudi di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi, Indonesia, petang ini.
Meskipun Arab Saudi yang juga naib juara dua tahun lalu bakal memberikan ujian sebenar buat mereka namun Al Imran percaya skuad yang dibentuk oleh Bojan Hodak juga memiliki kelebihan tersendiri.
“Memang kami akui Arab Saudi pasukan yang bagus tapi kami tak perlu takut, tak perlu terlalu menghormati mereka. Kami hanya perlu mengikut taktikal yang diarahkan oleh jurulatih, berdisiplin dalam permainan, insya-Allah kami boleh menang.
“Biasanya perlawanan pertama pasti sukar tapi kami akan cuba berikan yang terbaik kerana jika menang, peluang untuk ke peringkat seterusnya pasti cerah,” kata pemain dari Kedah itu.
Selepas Arab Saudi, anak buah Hodak akan meneruskan aksi kedua menentang Tajikistan (23 Oktober) di stadium sama sebelum bertemu China (26 Oktober) di Stadium Pakansari, Bogor dalam misi menduduki dua kedudukan teratas kumpulan untuk mara ke suku akhir.
Sementara itu, bintang muda Kedah, Akhyar Rashid tidak sabar turun ke padang dan membantu pasukan meraih kemenangan yang pertama.
Walaupun baru saja menyertai pasukan sebaik berakhir aksi persahabatan menentang Kyrgyzstan bersama Harimau Malaya di Melaka kelmarin, tiada istilah penat bagi Akhyar.
“Tak (penat). Saya terus datang ke hotel pasukan di Kuala Lumpur dari Melaka. Lagipun saya hanya main pada separuh masa kedua dan tidak penat sangat.
“Tumpuan saya sekarang adalah untuk membantu pasukan melangkah sejauh mungkin dan pengalaman bersama skuad senior dan B-23 sebelum ini akan saya gunakan untuk mencari kemenangan dalam setiap aksi,” katanya.