Skuad bawah 16 tahun Thailand bakal menurunkan barisan terkuat mereka termasuk penyerang muda Buriram United, Suphanat Mueanta apabila berdepan Malaysia dalam Kejohanan AFC B-16 di Stadium Nasional Bukit Jalil petang ini.
Mueanta yang berusia 15 tahun merupakan pemain termuda beraksi di liga utama Thailand dan membuat penampilan pertamanya pada perlawanan Buriram United menentang Nakhon Ratchasima, April lalu.
Buriram United’s Suphanat Mueanta became the youngest player to score in the Toyota Thai League.
He was 15 years, 9 months and 25 days when he came off the bench to score two goals in a comfortable 5-0 victory over Air Force Central FC on Saturday. ⚽️🏟🙌#ThaiLeague pic.twitter.com/KSXSSLgApg
— ThaiLeague (@thaileague) May 27, 2018
Malah, beliau turut menyumbang satu gol ketika Thailand tewas 2-5 kepada Jepun pada aksi pertama Kumpulan A, kelmarin.
Kehadiran Mueanta pasti menarik bagi perlawanan petang ini kerana skuad kendalian Lim Teong Kim turut memiliki penyerang berbisa, Luqman Hakim Shamsudin yang meledak empat gol buat Malaysia ketika menundukkan Tajikistan 6-2, kelmarin.
Thailand ketika ini amat memerlukan kemenangan bagi menghidupkan peluang untuk mara ke peringkat suku akhir dan skuad Malaysia sudah siap sedia untuk menghadapi ancaman mereka.
“Thailand bukan pasukan mudah dan kami menghormati mereka, namun apa yang penting adalah persembahan kami sendiri.
“Kami perlu mengelak daripada melakukan kesilapan seperti ketika menentang Tajikistan dan tampil dengan aksi lebih mantap.
“Saya sedar, rakyat Malaysia mengharapkan keputusan baik daripada kami, malah mahu melihat kami layak ke Piala Dunia Bawah 17 (B-17) di Peru tahun depan. Jadi, janji kami…Kami akan lakukan segala-galanya untuk cuba mencari kemenangan.
“Sudah empat tahun kami berlatih, berjuang dan berkorban bersama untuk menyiapkan pasukan dan memburu tiket Piala Dunia, jadi kami tidak akan sia-siakan peluang,” kata ketua pasukan Malaysia B-16, Muhammad Hariz Mansor kepada Utusan Malaysia.
Hanya empat pasukan terbaik daripada 16 negara yang bertanding dalam Kejohanan B-16 AFC meraih slot automatik ke Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan.
“Kami tiada tekanan, jurulatih pun hanya mahukan kami melakukan yang terbaik. Jadi, kami akan beraksi seperti biasa dengan mengambil serius setiap perlawanan,” kata Hariz lagi.
Malaysia kini mendahului Kumpulan A dengan berkongsi tiga mata bersama Jepun, yang mengalahkan Thailand 5-2 dalam aksi pembukaan.