Ketua jurulatih skuad bawah 16 (B-16) tahun Jepun, Yoshiro Moriyama memberi amaran kepada anak buahnya supaya berwaspada terhadap ancaman skuad Malaysia yang dikendalikan oleh bekas jurulatih skuad remaja Bayern Munich, Lim Teong Kim.
Malah tindakan jurulatih tersebut merehatkan lebih separuh tonggak utama ketika berdepan Tajikistan dilihat sebagai strategi untuk menyembunyikan kekuatan sebenar sebelum bertemu Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil petang esok. .
Namun, Moriyama berkata kepada Berita Harian menafikan tindakannya itu sebagai strategi untuk berdepan Malaysia, sebaliknya mahu memberi pendedahan buat anak buahnya yang tidak beraksi ketika mereka menewaskan Thailand 5-2, Khamis lalu.
“Tujuan utama saya melakukan pertukaran pemain untuk perlawanan ini (berdepan Tajikistan) kerana mahu pemain lain juga dapat pengalaman beraksi di kejohanan ini.
“Malah, beberapa pemain juga tampak keletihan dan sebab itu saya tukar tujuh pemain yang beraksi pada perlawanan pertama (berdepan Thailand),” katanya pada sidang media.
Keputusan seri tanpa jaringan dengan Tajikistan bermakna Jepun amat memerlukan kemenangan ke atas Malaysia untuk layak ke peringkat suku akhir.
Aksi menarik dilihat bakal disajikan pada perlawanan terakhir kumpulan itu selepas Malaysia wajib meraih kemenangan untuk layak susulan kekalahan 2-4 kepada Thailand.
Mengulas mengenai aksi dengan Tajikistan, Moriyama menjelaskan kegagalan anak buahnya menyudahkan beberapa peluang terhidang menjadi punca mereka gagal meraih mata penuh.
“Tajikistan beraksi dengan baik terutama di bahagian pertahanan. Ramai pemain mereka yang berada di kawasan penalti dan ia menyukarkan kami.
“Malah, pemain saya juga gagal bertindak lebih baik untuk menghasilkan gol. Jadi kami perlu menang ke atas Malaysia untuk muncul juara kumpulan,” katanya.