David Moyes boleh dikatakan gagal ketika di Manchester United.
Terperosok buat kali pertama di tangga ketujuh liga menjelang akhir musim setelah mengharungi era pengurus terbaik sepanjang zaman – Sir Alex Ferguson.
Disebalik kegagalan tersebut, Moyes berjaya menggilap seorang bakat yang satu ketika namanya disebut sebagai Ryan Giggs seterusnya – Adnan Januzaj.
Bakat Januzaj sejak kecil lagi dikesan sebagai salah seorang pemain bolasepak prospek masa depan di Belgium. Lantas, Manchester United menyambar untuk diserapkan dalam pasukan akademi.
Bermula dari sini, Januzaj meningkat menjadi seorang pemain yang luar biasa dan berjaya menempuhi diri ke pasukan utama Manchester United.
Terima kasih Moyes
Prestasi pemain ini pada peringkat awal sungguh mengagumkan. Musim 2013/2014 adalah musim yang paling diingati peminat Manchester United sehingga menyanyikan satu chant khas untuk Januzaj yang berbunyi:
“I wanna tell you,
I might as well do,
About a boy who can do anything,
His name is Adnan,
He comes from Belgium,
Januzaj, Januzaj, Januzaj!”
Begitulah aura pemain muda ini berkembang pantas dan mula diminati sehingga diperdebatkan negara mana bakal diwakili Januzaj jika terpilih ke skuad kebangsaan.
Januzaj boleh mewakili sama ada Albania,Kosovo, Belgium dan England (pemain yang beraksi di England sebelum berumur 21 tahun layak mewakili England).
Akhirnya, Januzaj memilih untuk mewakili Belgium dan telah dipanggil beraksi oleh Marc Wilmots, jurulatih Belgium ketika itu.
Ternyata David Moyes orang penting dalam mencorak karier bolasepak Januzaj. Kepercayaan Moyes terhadap pemain muda sejak mengendalikan Everton sewajarnya diberi kredit dan kegagalan mengendalikan kelab sebesar Manchester United adalah cabaran getir mana-mana pengurus di dunia.
Hampir ke PSG
Bakat Januzaj semakin menyerlah sehingga menarik minat gergasi Perancis – Paris St Germain (PSG).
Laurent Blanc, pengurus ketika itu telah membuat bidaan secara rasmi sebanyak £15 juta pada jendela perpindahan Januari tapi pantas ditolak Manchester United.
Khabar angin bertiup kencang apabila PSG mahu meningkatkan bidaan kepada £40 juta. Manchester United terus membuat keputusan untuk menyambut kontrak Januzaj bagi mengelakkan perkara yang sama terjadi pada Paul Pogba.
Akhirnya, Januzaj menandatangani kontrak lanjutan bergaji £75 ribu seminggu untuk tempoh sehingga tahun 2018.
Moyes dipecat, malapetaka melanda
Kekalahan demi kekalahan yang ditanggung Manchester United membuatkan kemarahan peminat semakin membuak-buak.
Kain rentang yang direntangkan di udara bertulis, Wrong One – Moyes Out” sebelum perlawanan diantara Manchester United dan Aston Villa semakin mendesak lembaga pengurusan Manchester United.
Akhirnya tidak sampai 10 bulan mengendalikan Manchester United, Moyes telah dipecat dan digantikan sementara Ryan Giggs sebagai pemain-pengurus ketika itu.
Manchester United mengumumkan bakal melantik Louis Van Gaal sebagai pengurus Manchester United berkuatkuasa selepas Piala Dunia 2014 di Brazil.
Era Van Gaal menyaksikan Januzaj telah terpilih untuk menyarung jersi keramat nombor 11 yang pernah disarung oleh Giggs.
Van Gaal juga merancang untuk menjadikan Januzaj pemain yang mempunyai gaya permainan seperti Arjen Robben.
Namun begitu, ia serba tidak menjadi di peringkat awal pengurusan Van Gaal apabila Januzaj gagal untuk menyerlahkan potensinya seperti pada era Moyes.
Walaupun berjaya menjaringkan gol setelah setahun kemarau gol, corak permainan Januzaj secara keseluruhan dinilai teruk kerana banyak kehilangan bola dan mudah dikasari pihak lawan.
Prestasi teruk itu menyaksikan Januzaj menyertai Borussia Dortmund pada sebagai pinjaman pada jendela perpindahan musim panas 2014/2015.
Penurunan karier
Karier Januzaj serba tidak menjadi di Borussia Dortmund yang merupakan kelab kedua terbaik di Bundesliga yang cukup terkenal sebagai kilang menghasilkan bakat bola sepak Jerman seperti Mario Gotze dan Marco Reus.
Januzaj hanya mampu beraksi 3 kali sahaja sebagai kesebelasan utama dan kedua-dua kelab telah mencapai kata sepakat untuk memendekkan tempoh pinjaman yang membawa kepulangan Januzaj ke Old Trafford pada perpindahan musim sejuk.
Karier Januzaj semakin buruk apabila pulang ke Old Trafford.
Siri kecederaan yang melanda dan hanya diberi peluang beraksi bersama skuad simpanan menjadikan bakat Januzaj disia-siakan.
Walaupun Van Gaal mengetengahkan ramai pemain muda dari akademi seperti Marcus Rashford, Timothy Fonsu-Mensah, Bortwick Jackson dan James Wilson, Januzaj masih gagal menempatkan diri dalam skuad utama.
Kemasukan Memphis Depay dan Anthony Martial semakin membantutkan karier dan potensi di posisi tersebut.
Apa yang Januzaj perlu lakukan?
Bagi penulis, Januzaj perlu membina semula karier beliau untuk menyelamatkan kembali karier beliau yang tidak menjadi.
Untuk terus kekal di Manchester United, ia adalah satu keputusan yang kurang tepat kerana kelab tersebut bukanlah platform terbaik untuk membina semula karier yang telah rosak.
Bagi penulis, kelab-kelab seperti AS Roma, AS Monaco, Benfica dan juga Sevilla adalah beberapa nama kelab yang sesuai untuk Januzaj mengembalikan kegemilangan dalam kariernya.
Dalam masa yang sama, penulis juga merasakan Januzaj merupakan pemain yang over-rated.
Hal ini kerana tumpuan media yang meluas terhadapnya membuatkan beliau terpaksa berhadapan dengan isu di dalam malah di luar padang.
Disiplin juga perlu diberikan tumpuan utama. Untuk pemain muda seperti Januzaj, didikan disiplin yang baik perlu diberikan.
Hal ini kerana untuk mengelakkan beliau terleka dengan keseronokan luar padang sehingga memberi kesan kepada prestasi di dalam padang.
Lihat sahaja pemain seperti Anderson. Dahulunya merupakan pemenang Golden Boy Eropah, namun kini gagal untuk memenuhi potensi yang diberikan kepadanya.
Apa-apa pun, semoga berjaya buat Adnan Januzaj!
Nota editor: Artikel ini merupakan penulisan dari individu yang menggunakan nama pena ApizJanuzaj. Jika anda mahu penulisan anda dibaca oleh jutaaan rakyat Malaysia, hantar artikel 300 patah perkataan anda dalam format MS Word ke [email protected] .
Baca juga: Penswastaan Liga Malaysia: Apa Maksudnya, Apa Syaratnya & Apa Status Terkini?