Indonesia meneruskan rentak positif mereka untuk mendapatkan seberapa ramai pemain warisan yang mempunyai pertalian darah bersama mereka untuk didaftarkan selaku tonggak skuad kebangsaan.
Bola sepak di negara tersebut kini boleh dianggap sedang membangun dengan begitu pesat bawah kendalian Shin Tae-yong selain tampil unik menerusi pemilihan para pemain.
Di Asia Tenggara kini, Indonesia boleh dikatakan begitu giat mendapatkan pemain-pemain yang memiliki pertalian darah bersama mereka untuk didaftarkan selaku warganegara bagi membolehkan beraksi di pentas antarabangsa.
Kesan perubahan yang dilakukan itu nyata sangat positif dengan Sang Garuda kini bukan lagi mangsa belasahan dan sudah pun membuktikannya sejak beberapa aksi lalu.
Malah, Indonesia juga menjadi antara negara yang berjaya melayakkan diri ke pusingan ketiga bagi siri Kelayakan Piala Dunia 2026 selain melayakkan diri secara automatik ke pentas Piala Asia.
Terbaharu, pasukan itu semakin hampir untuk mendapatkan khidmat dua lagi pemain warisan baharu dengan mereka hanya menunggu masa untuk pengesahan secara rasmi.
Dua pemain tersebut merupakan Eliano Reijnders bersama Mees Hilgers yang akan mengangkat sumpah kewarganegaraan pada 30 September ini menerusi perkongsian telah dibuat oleh Bola.com.
Lebih menarik, kedua pemain berkenaan berpeluang untuk mencipta penampilan sulung mereka bagi aksi seterusnya dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 pusingan ketiga berdepan Bahrain.
Sang Garuda bakal membuat perhitungan menentang Bahrain pada 10 Oktober akan datang di Stadium Riffa sebelum menentang China lima hari kemudian.
Untuk info, Eliano merupakan adik kepada tonggak utama AC Milan di pentas Eropah iaitu Tijani Reijnders serta beliau beraksi di bahagian sayap serta tengah serangan.
Berbanding abangnya yang menyarung jersi kebangsaan Belanda, Eliano memilih Sang Garuda sebagai destinasi pilihan beliau serta dikhabarkan memiliki pertalian darah bersama Indonesia dari daerah Kepulauan Maluku.
Sementara Mees Hilgers pula beraksi di posisi pertahanan tengah serta pernah mewakili skuad Belanda bawah 21 (B-21) sebelum beliau dilamar bersama Indonesia untuk saingan pentas antarabangsa.
Pada usia 23 tahun, Hilgers dianggap sebagai pelapis terbaik untuk mengemudi posisi pertahanan tengah Indonesia dengan lebih lama serta menggantikan pemain-pemain senior sedia ada.