Siapa yang tidak mengenali pasangan adik beradik Gary dan Philip Neville?
Philip (lahir 21 Januari 1977) dan abangnya Gary (lahir 18 Februari 1975) membuat penampilan lebih daripada 1000 kali dalam saingan EPL, memenangi sejumlah 14 gelaran liga, 6 Piala FA dan 3 UEFA Champions League sesama mereka untuk menghiasai kabinet trofi keluarga Neville.
Kedua-dua adik beradik ini turut tampil mencatat 144 caps bersama England sesama mereka, namun Three Lions seperti tidak pernah mencapai potensi sebenar di dalam kejohanan peringkat antarabangsa ketika era adik beradik Neville.
Neville dan bola jaring
Tatkala Philip dan Gary mencipta nama di dalam sukan bola sepak, Tracey Neville memilih bola jaring sebagai sukan pilihannya.
Pasangan kembar kepada Philip ini mula aktif di dalam sukan bola sepak wanita terlebih dahulu sebelum mengalihkan fokusnya kepada bola jaring.
Ini adalah kerana bola sepak wanita di England kurang mendapat perhatian dari segi pembangunan pada ketika itu.
Tracey Neville adalah seorang bekas pemain bola jaring kebangsaan England. Sebagai pemain, Tracey pernah membantu pasukan bola jaring England memenangi pingat gangsa di Sukan Komanwel 1998 yang diadakan di Kuala Lumpur.
Selepas kecederaan yang dialaminya pada 2008, Tracey mengalihkan kariernya daripada pemain kepada seorang jurulatih.
Sebagai jurulatih, Tracey berjaya membimbing Manchester Thunder kepada dua gelaran Superleague dalam tempoh 3 tahun, sebelum dilantik sebagai jurulatih sementara pasukan kebangsaan England ke Piala Dunia Bola Jaring 2015 di Australia.
Di Australia, sekali lagi Tracey dan pasukannya berjaya membawa pulang pingat gangsa dari kejohanan tersebut.
England akan menjadi tuan rumah seterusnya untuk Piala Dunia Bola Jaring pada 2019. Kini sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan England, Tracey Neville pasti mahu mencapai apa yang Gary dan Philip gagal capai- kegemilangan bersama England di pentas antarabangsa!
An Najwa, Bola Jaring & pingat emas Sukan SEA
Berbicara mengenai bola jaring, sukar untuk kita tidak berbicara mengenai pencapaian An Najwa Azizan dan skuad bola jaring negara.
Malam ini tumpuan kita akan terarah ke Stadium Shah Alam untuk perlawanan Kumpulan A acara bola sepak lelaki di antara skuad kebangsaan negara menentang Myanmar dalam pemburuan slot ke separuh akhir.
Tatkala sokongan rakyat Malaysia dijangka akan menggemakan Stadium Shah Alam pada malam ini, pasukan bola jaring negara terlebih dahulu menamatkan kemarau 16 tahun, berjaya mendapatkan kalungan pingat emas untuk acara bola jaring dalam temasya Sukan SEA edisi ke-29.
Pasukan bola jaring negara menundukkan juara bertahan yang juga merupakan musuh tradisi pasukan negara dalam sukan itu, Singapura dengan jaringan 65-41 di perlawanan akhir semalam.
Kemenangan itu pastinya manis selepas skuad bola jaring negara tewas tipis 43-46 kepada lawan yang sama pada temasya sukan yang lalu. Kali terakhir Malaysia merangkul pingat emas adalah pada 2001, ketika menjadi tuan rumah.
Semestinya kejayaan pasukan bola jaring negara tertumpu kepada jaringan konsisten penjaring berbisa, si gadis cantik manis yang bernama An Najwa Azizan.
Produk Sekolah Sukan Kuala Lumpur berusia 20 tahun ini merupakan antara tulang belakang kepada kejayaan skuad bola jaring negara merangkul pingat emas kerika menentang Singapura,
Berada di posisi Goal Shooter (GS), gandingan An Najwa dan Norashikin Kamal Zaman sambil dibantu kreativiti rakan sepasukan yang lain, An Najwa konsisten menjaringkan mata untuk pasukan negara.
An Najwa Azizan dilahirkan pada 9 Ogos 1997 dan merupakan anak keempat dari lima beradik kepada pasangan Norsila Jaafar dan Azizan Azmi.
Azizan juga merupakan bekas pemain ragbi kebangsaan yang menyarung jersi Malaysia dari 1981 hingga 1998.
Kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Walaupun berlainan bidang sukan, An Najwa adalah satu-satunya anak di kalangan 5 adik beradik yang aktif di dalam bidang sukan.
Pada ketinggian 178 sentimeter (5′ 10 inci), An Najwa terlebih dahulu menjinakkan diri di dalam sukan olahraga (lompat jauh) sebelum didorong oleh gurunya beralih ke sukan bola jaring.
Fokus di dalam sukan bola jaring menjadi lebih serius selepas menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 3 di Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 2011.
Kehebatan An Najwa bersama pasukan bola jaring negara sukar disangkal. Pada Kejohanan Bola Jaring Asia tahun lalu, An Najwa dinobatkan sebagai MVP (Most Valuable Player) kerana ketangkasannya dalam kejohanan tersebut.
Anak gadis yang mendapat perhatian selepas aksi memukaunya bersama pasukan bola jaring negara ini sedang menunggu menunggu kemasukan ke Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Komunikasi.
Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah hobi An Najwa. Anak gadis ini mengaku beliau gemar untuk menjamu selera dan makanan kegemarannya adalah ayam masak cili api atau masakan Negeri Sembilan kerana rasa pedas dalam masakan negeri itu.
Bercakap kepada wartawan seperti yang dilaporkan oleh mstar online selepas kemenangan semalam, An Najwa berkata:
“Saya sangat berbangga kerana kami memang layak menerima kejayaan ini selepas 18 bulan menjalani latihan dan kerja keras tanpa henti.”
“Seperti yang saya katakan, setiap permainan adalah perlawanan baharu. Apa yang lepas, biarlah berlalu. Jadi saya ambil setiap perlawanan dengan persiapan yang sama. Saya akan mulakan (perlawanan) dengan sesuatu yang segar.”
“Mental dan fizikal kami sangat baik. Saya luahkan ketika permainan dan orang cakap saya tidak banyak senyum ketika perlawanan. Mungkin itu adalah kerana saya memberi fokus kepada permainan.”
“Gugup tu memang ada, semua itu ada, mesti ada. Tetapi terlalu banyak tak bagus juga. Kami telah berlatih dan tak perlu takut apa-apa. Persiapan semua dah mantap,” ujar gadis manis tinggi lampai berusia 20 tahun itu.
Tahniah An Najwa dan pasukan bola jaring negara
Kami di Semuanya BOLA turut tidak mahu ketinggalan untuk mengucapkan tahniah kepada An Najwa Azizan dan skuad bola jaring negara atas kejayaan merangkul pingat emas pada temasya Sukan SEA Ke-29 ini.
Buat penyokong bola sepak tanah air, ayuh kita satukan hati untuk memberi sokongan padu kepada pasukan bola sepal negara pada malam ini.
Jumpa anda di Stadium Shah Alam!
Sumber:
1. Sky Sports (2016): Gary Neville talks England coaching with sister Tracey; http://www.skysports.com/netball/news/29326/10671340/gary-neville-talks-england-coaching-with-sister-tracey
2. Rajes Paul, The Star Online (2017): Najwa the An-nihilator; http://www.thestar.com.my/sport/other-sport/2017/08/15/najwa-the-annihilator-goal-shooter-leads-malaysia-to-a-roaring-start-against-thailand/
3. Madiha Abdullah, Astro Awani (2017): Bola jaring: Siapa gerangan An Najwa, ‘si cantik pemusnah’ pasukan lawan; http://www.astroawani.com/gaya-hidup/bola-jaring-siapa-gerangan-najwa-si-cantik-pemusnah-pasukan-lawan-152951
4. Utusan Malaysia (2017): Najwa digeruni lawan; http://www.utusan.com.my/sukan/najwa-digeruni-lawan-1.516470