adidas Football meraikan ikatan baharu jenama terkenal dunia itu bersama kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal dalam satu majlis pelancaran jersi ‘Home’ bagi menghadapi musim 2019/20 yang diadakan di Football Republic, Sunway Pyramid.
Kerjasama itu menandakan era baharu yang progresif buat Arsenal serta turut menggamit nostalgia ketika The Gunners menggayakan jersi adidas pada sekitar tahun 1986 hingga 1994.
Warna tradisi Arsenal iaitu merah terus dikekalkan sebagai warna asas dan diserikan dengan kombinasi warna putih bagi menambah ‘seri’ buat jersi kelab London tersebut.
Reka bentuk dengan tiga jalur ikonik adidas di bahu serta warna putih pada bahagian lengan menyerlahkan lagi ciri-ciri moden yang mengambil inspirasi jersi retro Arsenal sekitar penghujung 80an.
Kolar jersi ini juga memperlihatkan elemen klasik diterapkan dengan gandingan putih dan merah serta turut diserikan dengan penampilan hitam membuatkan bahagian tersebut kelihatan lebih kemas adunan warnanya.
Pengurus Besar adidas Football, Nick Craggs mengakui bahawa beliau teruja kerana dapat menjadi sebahagian daripada rakan penaja Arsenal.
”Arsenal sentiasa mempunyai budaya yang unik, mendefinisi semula permainan, sambil kekal sejati dengan nilai teras mereka. Kami teruja untuk menjadi sebahagian daripada mereka dan sudah tentu untuk menghasilkan jersi ikonik yang disukai peminat Arsenal.”
Sementara itu, Pengarah Urusan Arsenal, Vinai Venkatesham turut senada dengan Nick apabila turut gembira dapat bekerjasama dengan adidas Football.
”Nilai teras adidas mencerminkan diri kami, mereka begitu progresif dan inovatif serta mempunyai cita-cita kuat untuk kelab dan kerjasama ini sejajar dengan kami.”
”Kami teruja kerana adidas berada di pihak kami kerana kami terus membangun dan menolak sempatan di dalam dan luar padang. Itu adalah cara Arsenal.”
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Al Ikhsan Sports Sdn Bhd, Vach Pillutla turut memandang ke hadapan impak penglibatan kelab seperti Arsenal.
”Arsenal adalah sebuah kelab yang kaya dengan sejarahnya di Malaysia dan telah mengumpul peminat yang ramai saban tahun.”
”Football Republic berharap dapat menikmati tahun yang menggembirakan bersama-sama dengan para peminat bagi mewujudkan hubungan yang akrab antara mereka dan kelab.”
Peminat Arsenal yang hadir ke Football Republic itu juga turut dipersembahkan dengan ‘freestyle show’ berkualiti tinggi oleh Raja Freestyler.
Di samping itu mereka juga berpeluang memenangi voucher daripada Football Republic dengan aktiviti yang telah diadakan.
Jersi ‘Home’ Arsenal bagi musim 2019/20 kini boleh didapati di semua cawangan Football Republic seluruh negara dan www.adidas.com.my dengan harga RM300. Penjualan di ‘adidas stores’ pula akan bermula pada 19 Julai nanti.
Sebarang maklumat terkini anda boleh ke adidas.com/football atau ‘follow’ @adidasfootball di Instagram atau Twitter.