Pemain lincah kebangsaan iaitu Adib Ra’op antara nama yang menjadi perhatian ramai selepas beliau dipilih sekali lagi untuk menyertai kem kebangsaan bagi mengharungi kejohanan Pestabola Merdeka akan datang.
Adib menjadi antara pemain Penang yang terpilih untuk menyertai kem Harimau Malaya buat pertama kali bawah kendalian Pau Marti Vicente selaku jurulatih utama kebangsaan.
Terdahulu, pemain pertahanan kiri Penang ini telah pun mempamerkan kualiti terbaik sewaktu aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 sewaktu era kejurulatihan Kim Pan-gon.
Sepanjang dua perlawanan di pentas antarabangsa itu, Adib telah pun meledak satu gol cukup berkualiti sewaktu Malaysia mengatasi cabaran Chinede Taipei untuk menarik perhatian ramai pemerhati bola sepak tempatan.
Pastinya untuk saingan Pestabola Merdeka akan datang ini, kualiti Adib terus ditagih untuk memberi magis tersendiri di posisi pertahanan serta serangan Malaysia.
Salah seorang pemerhati bola sepak yang memberi tumpuan kepada Adib sudah tentu terarah kepada jurulatih berpengalaman iaitu Sulaiman Hussin.
Menurut Sulaiman, Adib dianggap memiliki pakej tersendiri daripada segi kepantasan, kemahiran teknikal, serta keberanian untuk mengisi kekosongan ditinggalkan oleh Faisal Halim.
Malah bekas pengendali UKM FC itu turut berharap supaya Adib diberi peluang untuk mempamerkan potensi sebenar di pentas antarabangsa.
“Adib ini sudah lama saya perhatikan sejak dia bermain dengan pasukan Perak lagi, memang dia ada potensi dan keistimewaan tersendiri.
“Tapi disebabkan masalah dalaman Perak sebelum ini menyebabkan dia berpindah ke Penang FC dan bakatnya mula menyerlah.
“Kita dapat lihat ketika Kim Pan-gon (ketua jurulatih negara sebelum ini) memberi dia peluang, Adib tidak memerlukan masa lama untuk meledak gol pertamanya di peringkat antarabangsa ketika menentang Taiwan sebelum ini.
“Kebetulan waktu itu Arif Aiman tidak disenaraikan menentang Taiwan, jadi dengan adanya Arif Aiman, saya fikir sudah tiba masanya kita nak lihat gandingan baharu di bahagian sayap membabitkan Arif Aiman dan Adib pula,” kata beliau menerusi Harian Metro.
Selain Adib, nama Syamer Kutty juga antara wakil Penang yang terpilih untuk menyertai kem kebangsaan bawah kendalian Pau Marti sebelum saingan Pestabola Merdeka bermula.