Pemain Wolverhampton Wanderers, Adama Traore telah memuji pasukan Liverpool dengan menganggap pendahulu Premier League itu adalah yang terbaik di Eropah.
Menurut laporan Empire of the Kop, pemain yang sering memberikan bahaya buat Wolverhampton Wanderers itu berkata demikian selepas ditemu ramah oleh pihak BT Sport dalam aksi melibatkan kedua-dua pasukan.
“Kita tidak lupa yang mereka adalah pasukan yang mengagumkan dan antara yang terbaik, atau yang terbaik di Eropah.”
“Tahniah buat mereka dengan apa yang mereka telah lakukan dalam liga tetapi kami berjuang hingga tamat perlawanan.”
Pujian Traore ini juga mungkin mencuri perhatian para penyokong Liverpool yang dilihat berminat dengan pemain tersebut yang dianggap cukup berkuasa di atas padang.
Traore jelas memberikan bahaya kepada Liverpool dalam aksi menentang pasukan tersebut di Molineux semalam, larian-larian deras jelas memberikan masalah terutamanya kepada Andy Robertson yang banyak berhadapan dengan pemain itu.
Malah, Traore turut mencatatkan satu bantuan gol dalam perlawanan semalam apabila hantaran lintang yang dilakukannya berjaya menemui Raul Jimenez.
Persembahan cemerlang itu membuatkan penganalisis BT Sport iaitu Steve McManaman menganugerahkan kepadanya gelaran pemain terbaik perlawanan walaupun pemain itu berada di pasukan yang tewas.