Adakah Tan Cheng Hoe Akan Kembalikan Peranan ‘The Sniper’ Kepada Baddrol Bakhtiar?

Tan Cheng Hoe Baddrol Bakhtiar The Sniper Malaysia

Sebagaimana yang kita tahu, gelaran ‘The Sniper’ yang diberikan kepada lagenda hidup Kedah Darul Aman, Baddrol Bakhtiar adalah hasil perancangan pengendali skuad kebangsaan kini, Tan Cheng Hoe ketika di sana.

Mereka berdua pernah bekerjasama untuk tempoh tiga tahun, sepanjang Cheng Hoe mengendalikan Kedah pada musim 2014 hingga 2017. Musim 2017 adalah musim terbaik mereka di bawah kendalian Cheng Hoe.

Dan pada musim mereka meraih gelaran Piala Sumbangsih, Piala FA selain naib juara Piala Malaysia dan juga kedudukan ke-4 Liga Super itu, Cheng Hoe telah memberikan ‘projek’ khas buat Baddrol Bakhtiar di padang.

Cheng Hoe sememangnya sinonim dengan sistem taktikal 4-2-3-1 dan ia diteruskan ke skuad kebangsaan ketika ini. Dan pada musim 2017, apakah ‘projek’ khas yang telah diberikannya kepada kaptennya itu?

Dengan adanya Amirul Hisyam, Akram Mahinan dan Liridon Krasniqi, pengendali berusia 53 tahun itu telah memberi tugas baharu kepada Baddrol Bakhtiar di sayap. Sebagai inside forward, pemain itu akan masuk ke half space ketika pasukan dalam fasa menyerang dan jika ada ruang, beliau akan melepaskan ‘tembakan’.

Ini kerana kebanyakkan pasukan di Liga Malaysia yang masih lemah dalam mengekang pemain di half space.

Baddrol Bakhtiar pernah mengakui kepada Semuanya BOLA peranan itu membuatkan beliau lebih bebas. Jika bek tengah keluar untuk mengekangnya, mereka akan mencipta ruang di belakang. Jika bek sisi pula datang mengekangnya, bek sayap kanan, Rizal Ghazali akan diberikan ruang besar untuk naik mengasak lawan.

kesebelasan utama Malaysia Tajikistan
Kesebelasan utama Malaysia vs Tajikistan
positioning Malaysia Tajikistan
Kedudukan Baddrol Bakhtiar dalam perlawanan menentang Tajikistan dalam formasi 4-1-4-1

Kali terakhir Baddrol Bakhtiar turun bersama skuad negara adalah ketika menang 1-0 ke atas Tajikistan dalam aksi persahabatan pada November 2019. Beliau diturunkan oleh Cheng Hoe untuk 45 minit pertama – ia merupakan aksi antarabangsanya yang pertama di bawah bekas pengendalinya itu selepas lama terpinggir.

Sebelum itu, kali terakhir beliau terlibat dengan tugasan bersama Harimau Malaya adalah pada 2017, secara tepatnya sebelum Cheng Hoe mengambil alih kerusi nakhoda daripada Nelo Vingada pada Disember 2017.

Namun, dalam aksi pertama dan terakhirnya bersama skuad kebangsaan di bawah Cheng Hoe itu, beliau bermain di posisi tengah bertahan atau dalam sistem Cheng Hoe ditakrif sebagai deep lying playmaker – peranannya bersama Kedah sebelum diubah oleh Cheng Hoe pada musim 2017 untuk lebih ofensif.

Persembahan baiknya bersama Kedah musim ini ditambah dengan pengiktirafan penjaring terbanyak tempatan di Liga Super dengan tujuh gol, Cheng Hoe kembali berminat untuk memanggilnya semula.

Mengapa pengendali itu kembali mahukan Baddrol Bakhtiar setelah sekian lama jentera tengah digerakkan oleh generasi baharu? Adakah beliau akan ‘mengganggu’ corak yang telah lama dibentuk di tengah?

Penulis merasakan kali ini, ‘projek’ khas Cheng Hoe di Kedah untuk Baddrol Bakhtiar pada musim 2017 itu akan dikembalikan kepadanya untuk diuji cuba dan dilakukannya bersama skuad kebangsaan pula.

Ini kerana, dalam senarai pemain di skuad kebangsaan kali ini, majoriti pemain sayap adalah muka baharu seperti Al-Hafiz Harun, Hakimi Abdullah, Fayadh Zulkifli serta Faisal Halim yang memiliki satu kaps. Pemain tengah pula dibarisi empat pemain iaitu Akram Mahinan, Nazmi Faiz, Kenny Pallraj dan Mukhairi Ajmal.

Dalam sistem taktikal Cheng Hoe, beliau hanya memerlukan dua pemain di tengah. Di depan dua pemain tengah itu, tiga pemain menyerang akan diletakkan iaitu dua pemain inside forward dan satu pemain di posisi nombor 10, di belakang penyerang utama – yang ketika ini selalunya digerakkan oleh Syafiq Ahmad.

Berdasarkan senarai yang ada, Akram Mahinan dan Nazmi Faiz dijangka akan menggerakkan jentera tengah sementara Baddrol Bakhtiar, Faisal Halim dan Syafiq Ahmad akan berada di depan mereka berdua.

Dengan kembalinya Baddrol Bakhtiar di sayap kanan atau peranannya sebagai ‘The Sniper’, ini adalah uji cuba yang menarik melibatkan bekas pemain Cheng Hoe yang meledak lima gol dalam 11 aksi di posisi tersebut. Walaupun sudah agak lama tidak bermain sebagai ‘The Sniper’, beliau arif kemahuan Cheng Hoe.

Dengan sentuhan jaringan yang sudah kembali ditemuinya selepas gagal meledak sebarang gol dalam musim 2020, Cheng Hoe mungkin merasakan ini masa yang sesuai untuk mengembalikan peranan ‘The Sniper’ kepada Baddrol Bakhtiar. Disebabkan itu, dalam senarai, posisi sayap dibarisi pemain-pemain muda.

Jadi bagaimana dengan pendapat pembaca? Adakah perubahan ini yang akan kita saksikan dalam dua aksi pemanas badan terakhir sebelum saingan Piala AFF Suzuki 2020 membuka tirainya pada awal Disember?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN