Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Adakah Selangor Sudah Bersedia Untuk Tekan Butang Panik?

3 mata daripada lima perlawanan. Jelas ia signal yang kuat dan jelas kepada pihak pengurusan Selangor untuk memikirkan bagaimana untuk mereka berdepan dengan permulaan yang buruk berbanding apa yang dilalui pada musim lalu.

Pada musim 2018, di minggu kelima, Selangor berada di posisi ke-8 unifi Liga Super dengan meraih 6 mata, berbanding pada musim ini, Selangor hanya meraih 3 mata dan berada di kedudukan ke-10 – perbezaan yang ketara dengan tiada kemenangan yang diraih.

Adakah pengurusan dan penyokong Gergasi Merah masih perlu bersabar menanti sentuhan magis ketua jurulatih, B. Satiananthan?

Sang juara yang merundum

Kali terakhir Selangor memenangi kejuaraan Liga Super adalah pada 2010 ketika di bawah bimbingan K. Devan – kini membawa pendatang baharu liga, PJ City FC. Selangor hanya dibezakan 4 mata berbanding pencabar, Kelantan yang mengutip 59 mata.

3 musim terkini menyaksikan suasana suram menyelubungi Shah Alam dengan pelbagai permasalahan luar padang termasuklah menduduki kedudukan yang kurang baik di liga – dan pada musim lalu menamatkan saingan di kedudukan ke-8 liga.

Sepanjang 13 musim beraksi di Liga Super, Selangor telah 2 kali bergelar juara. Dan jika dihitung keseluruhan sepanjang beraksi di hierarki tetinggi Liga Malaysia, Gergasi Merah telah 6 kali menjuarainya – musim 1984, 1989, 1990, 2000, 2009 dan 2010.

Bermula pada 2016, segalanya tidak menjadi buat mereka. Daripada pasukan tiga teratas liga, Sang Gergasi kian menjunam prestasinya dengan meraih kedudukan ke-5, kemudian ke-6 dan pada musim lalu menamatkan musim di kedudukan ke-8.

Prestasi 3 tahun sebelum

Berikut merupakan mata yang telah diraih untuk 5 perlawanan awal dalam 3 musim terdahulu iaitu 2016, 2017 dan 2018 berserta kedudukan Selangor di akhir musim tersebut:

  • Musim 2016: 10 mata (kedudukan ke-5 -28 mata)
  • Musim 2017: 8 mata (kedudukan ke-6 – 33 mata)
  • Musim 2018: 6 mata (kedudukan ke-8 – 27 mata)

Apakah trend yang dapat dilihat? Pungutan mata dan kedudukan mereka di akhir musim dilihat semakin jatuh. Dan lebih buruk, pada musim 2019, Gergasi Merah hanya meraih 3 mata dengan rekod tanpa sebarang kemenangan – sejak September tahun lalu.

Jika berdasarkan kepada kutipan mata musim lalu, pasukan yang meraih mata dalam lingkungan begini berpotensi untuk tersingkir ke Liga Premier. Kelantan dan Negeri Sembilan masing-masing hanya meraih 4 dan 3 mata pada permulaan musim 2018.

Di manakah kedudukan Kelantan dan Negeri Sembilan ketika ini?

Rekod Satiananthan

Menyertai Kelantan pada September 2009, Satiananthan telah memimpin TRW dalam musim pertama di saingan Liga Super dan berjaya meraih gelaran naib johan Liga Super 2010. Kelantan mengumpul 59 mata, kurang 4 mata daripada juara, Selangor.

Satiananthan turut berjaya membawa ATM FA ke Liga Super 2013 apabila menjuarai Liga Premier 2012 dan menamatkan musim sulung tersebut di kedudukan ke-6 liga dengan 34 mata – satu kedudukan yang sangat baik bagi pendatang baharu liga.

Pada musim 2017, bersama-sama Felda United pula, Satiananthan mengakhiri musim itu pada kedudukan ketiga liga, 1 mata di belakang naib juara, Pahang dan dipisahkan 10 mata di belakang juara pada musim tersebut, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Berikut adalah ringkasan 3 pasukan yang pernah dibimbing Satiananthan dalam saingan Liga Super:

  • Kelantan / Liga Super 2010 (26 perlawanan): 17 menang – 8 seri – 1 kalah (naib juara)
  • ATM FA / Liga Super 2013 (22 perlawanan): 10 menang – 4 seri – 8 kalah (ke-6)
  • Felda United / Liga Super 2017 (22 perlawanan): 11 menang – 6 seri – 5 kalah (ke-3)

Melihatkan rekod tersebut, Satiananthan bukanlah jurulatih yang ‘biasa-biasa’, malah dua pasukan yang dibimbingnya dalam saingan Liga Super meraih kedudukan tiga teratas pada penghujung musim tersebut iaitu Kelantan dan Felda United.

FAS masih percayakannya

Pada awal penyertaan ke Gergasi Merah, banyak pihak termasuk penulis berkeyakinan yang ‘he’s the right man for the job‘. Kredibilitinya sebagai seorang jurulatih berjaya di Malaysia tidak boleh disangkal, namun ketika ini sebaliknya telah berlaku.

Begitupun, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) masih menaruh kepercayaan terhadap kemampuan Satiananthan dan menerusi kenyataan Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon pantas menafikan khabar angin yang dia telah direhatkan.

Menurut Dr. Johan, jika diteliti aksi permainan menentang Pahang dan JDT, Selangor telah mempamerkan perubahan dan peningkatan. Dengan kemasukkan beberapa muka baharu, skuad Merah Kuning dijangkakan mampu memperbetulkan semula pasukan.

Di kalangan penyokong pula, sudah nampak ‘bunga-bunga’ tidak mampu menahan sabar dengan keadaan dan situasi muram yang sedang dilalui oleh pasukan kesayangan mereka kini. Namun, adakah terlalu awal untuk menghukum Satiananthan?

Penutup

Adakah Gergasi Merah akan terus bertahan dan memberikan Satinanthan sebanyak mana masa yang diperlukannya untuk membentuk semula pasukan ini? Tidak dinafikan, Selangor tampil dengan imej yang sangat menarik pada pra musim tempohari.

Pelbagai perubahan dapat dilihat dari segenap aspek dan dengan penyertaan Satiananthan, dirasakan musim ini adalah musim terbaik buat Selangor. ‘This is our year‘ bak kata penyokong-penyokong Liverpool saban tahun di Liga Premier Inggeris.

Sebaliknya berlaku, prestasi pasukan tidak seperti imej yang cuba ditampilkan oleh pihak pengurusan pasukan sejak dari awal musim yang lalu. Krisis prestasi ini memerlukan solusi dan apakah solusi yang terbaik buat Sang Gergasi ketika ini?

Adakah Selangor sudah bersedia untuk menekan butang panik?

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!