Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Adakah Ronaldo Pemain Pilihan Mehmet, Atau PAFA Sekadar Mahu Yang Murah?

Penyerang Perak, Ronaldo Henrique menjadi topik hangat dalam kalangan peminat Perak selepas gagal menjaringkan gol setelah sekian lama. Ronaldo Henrique dibawa masuk bagi menggantikan Gilmar Filho yang turut memiliki isu yang sama.

Kerisauan tersebut telah dilontarkan seawal pengumuman tentang pemain tersebut dilakukan. Penulis pernah menyatakan kerisauan yang sama memandangkan Ronaldo bermain untuk XV de Piracicaba dan hanya menjaringkan 9 gol daripada 20 penampilan.

Perak mahu Ronaldo kerana murah?

Untuk pengetahuan semua, XV de Piracicaba beraksi dalam Campeonato Paulista Série A2, tier ke-6 dalam sistem liga Brazil (divisyen ke-2 liga negeri). Sistem liga Brazil berbeza dengan sistem liga yang digunapakai di dunia di mana kelab profesional turut bermain dalam liga negeri.

Sebagai contohnya, Palmieras yang bertanding dalam saingan Campeonato Brasileiro Série A turut beraksi dalam Campeonato Paulista Série A1. Mungkin Brazil mahu memberikan nilai kompetitif dalam saingan liga mereka.

Perak telah mengesahkan dua pemain Brazil, Ronaldo Henrique dan Raianderson “Careca” Costa Morais sebagai pemain baharu…

Posted by Meor Mohamad Amirul on Thursday, May 9, 2019

 

Berbalik kepada isu Ronaldo, bermain di tier ke-6 dengan hanya 9 gol daripada 20 penampilan sudah cukup untuk menceritakan segalanya. Namun, kenapa Perak tetap mahu menandatanganinya? Hanya kerana murah?

Tidak teruji sepenuhnya, atau gagal buktikan diri?

Layak tidak semestinya bagus. Dia berjaya menunjukkan betapa kualiti pemain beberapa pasukan Liga Super setaraf pasukan divisyen ke-2 liga negeri Sao Paulo sahaja. Kita juga tidak boleh nafikan 8 gol yang telah dijaringkan dalam saingan Liga Malaysia setakat ini.

Dalam artikel yang sama juga, penulis menekankan bahawa keupayaan Ronaldo masih belum diuji sepenuhnya kerana belum beraksi menentang kuasa besar Liga Super Malaysia 2019 ketika itu. Hasilnya? Hanya 1 gol, itu pun sepakan penalti menentang Kedah.

PERAK 2-1 PKNP : RONALDO TAMPIL CEMERLANG, BANTU PERAK LAYAK KE SEPARUH AKHIR

Sejujurnya, tidak banyak yang boleh…

Posted by Meor Mohamad Amirul on Saturday, May 11, 2019

Kali terakhir Ronaldo menjaringkan gol ‘open-play’ adalah pada 25 Jun lalu ketika menewaskan Felda United 3-2 di Jengka. Selepas itu, Ronaldo hanya menjaringkan 1 gol dalam 6 perlawanan.

Ada khabar angin mengatakan Mehmet meletakkan Ronaldo sebagai umpan (decoy no.9) bagi memberi ruang kepada Careca dan Brendan menyerang. Umpan sekalipun, Ronaldo sepatutnya mampu menjaringkan gol apabila berhadapan penjaga gol.

Rasanya MFL telah menjalinkan kerjasama dengan InStat Football untuk kelab Liga Super dan Liga Perdana. Pasti ada rekod mengenai jumlah ‘clear-cut chances’ dan ‘half chances’ yang telah dibazirkan Ronaldo setakat ini.

Mengapa tidak Shahrel Fikri?

Paling mengelirukan, kenapa masih mahu gunakan Ronaldo sedangkan Shahrel Fikri lebih menyerlah?

Dalam perlawanan menentang Pahang, 2 peluang terbaik Shahrel Fikri berjaya dihalang Helmi Eliza. Ronaldo?

Adakah Shahrel Fikri masih tidak mencapai standard yang diletakkan Mehmet keatasnya? Mungkinkah Mehmet berasa rugi jika tidak menggunakan Ronaldo yang merupakan pemain asing?

Hanya PAFA, Mehmet, barisan kejurulatihannya dan para pemain sahaja yang tahu.

Rumusan

Secara keseluruhannya, Ronaldo bukanlah pemain yang sesuai menggantikan Gilmar.

Kredibiliti ETMINAN turut menjadi tanda tanya tentang pemain yang mereka tawarkan kepada klien mereka (Perak). Adakah Ronaldo pemain yang Mehmet mahu atau PAFA mahukan yang murah?

 

Nota Editor: Artikel ini ditulis oleh penyokong setia Perak TBG yang juga merupakan seorang penulis bebas muda berpengalaman, Meor Mohamad Amirul, telah disunting dan disiarkan dengan kebenaran.