Tujuan utama kelab mencari pemain import adalah untuk membantu pasukan mendapatkan keputusan yang lebih baik kerana mereka ini diletakkan harapan lebih tinggi daripada bakat tempatan disebabkan mempunyai kelebihan dari segi saiz serta teknik bola sepak.
Akan tetapi, jika pemain import yang hadir itu sama taraf seperti pemain tempatan dan ini merupakan satu kerugian amat besar kepada pasukan tersebut.
Kenapa rugi? Hal ini kerana pihak pengurusan perlu bayar gaji yang mahal tetapi mutu permainan sama sahaja dengan pemain tempatan.
Maka lebih baik menggunakan pemain tempatan atau bakat muda kerana ia lebih menguntungkan kelab dan paling penting dapat menjimatkan kos.
Dalam perkara ini, Perak boleh dijadikan contoh kerana menggunakan tenaga pemain muda sebagai tunjang pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Namun, risikonya adalah pemain ini mengalami sedikit kesukaran untuk bersaing dengan pasukan yang mempunyai skuad lebih berpengalaman.
Setiap musim kita boleh lihat beberapa pasukan seperti tidak bernasib baik dalam pemilihan pemain import dan secara tidak langsung telah memberi kesan kepada keputusan mreka.
Kita bola saksikan sesetengah pemain import tidak memberikan sumbangan yang diharapkan dan ini memberikan kesan kepada pasukan Liga M yang bertanding.
Tidak tahu di mana silapnya, hadir dengan reputasi yang tinggi namum tidak mampu membantu pasukan dan prestasi secara individu sebagai pemain terus merudum.
Adakah cara pemilihan pemain dari luar negara ini sekadar dinilai dari video permainannya semata-mata di laman YouTube?
Jangan mudah percayakan cakap-cakap ejen pemain kerana ada diantara mereka sekadar mahu mengaut untung sahaja dan bukanlah mahu membantu pasukan.
Dalam soal ini, mereka yang diberi tanggungjawab seakan-akan mempercayai orang yang menguruskan pencarian pemain itu sepenuhnya tanpa membuat penilaian sebenar.
Atau mereka ini sebenarnya dalam diam ada agenda tersendiri?
Mungkin atas faktor ini menyebabkan pasukan dalam Liga M begitu sukar untuk memberi tentangan sengit kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).
Dalam pencarian pemain, semua kelab boleh belajar cara JDT di mana pemain yang hadir di dalam pasukan Harimau Selatan boleh dikatakan kesemuanya adalah yang berkualiti tinggi.
Oleh yang demikian, sebelum mengambil pemain import, pihak pengurusan harus bijak membuat keputusan dan jangan hanya melihat kepada reputasi semata-mata sebaliknya lihatlah prestasi semasa pemain tersebut kerana ia lebih mustahak.
Jika perlu melantik pencari bakat (scout) yang mahal, maka ambillah kerana ia jauh lebih baik daripada setiap musim kena tipu dengan ejen pemain.