Penang bakal mengharungi satu lagi aksi Liga Super malam ini, dengan perlawanan seterusnya membabitkan pasukan tersebut menentang Kelantan United dalam misi untuk mendapatkan kembali mata.
Musim ini Penang tampil dengan sangat tidak konsisten, selepas merekodkan hanya lima kemenangan daripada 21 perlawanan diharungi mereka.
Walaupun ada rombakan telah dibuat mereka termasuk beberapa pemain tempatan serta import menyertai Penang, secara keseluruhan tiada banyak perubahan dapat dilihat daripada segi corak permainan.
Malah, pasukan tersebut juga sudah pun mencatat kekalahan lima kali berturut-turut untuk aksi Liga Super sebelum ini, dengan kali terakhi Penang mencatat kemenangan ketika mereka menewaskan Kelantan pada 8 Julai lalu di laman sendiri.
Pastinya kini penyokong pasukan tersebut mengharapkan perubahan positif dapat dilakar segera, supaya Penang dapat berada di kedudukan lebih baik sebelum persaingan Liga Super tamat.
Untuk aksi seterusnya ini berdepan Kelantan United, ia menjadi satu peluang buat Penang untuk kembali mencongak tiga mata penting serta memberi keyakinan buat penyokong mereka.
Kali terakhir kedua pasukan ini bertemu pada 18 April lalu dengan Penang berjaya mencatat kemenangan 2-0 hasil jaringan Nik Akif Syahiran serta Rafael Vitor.
Sudah tentu skuad kendalian Manzoor Azwira itu kini mengharapkan kejayaan lalu dapat diulang sekali gus menamatkan penantian mereka untuk mendapatkan tiga mata penting selepas lima perlawanan.
Walaupun begitu, ianya tetap dianggap tidak mudah buat Penang kerana Kelantan United juga kini berada dalam momentum tersendiri sejak beberapa perlawanan lalu.
Pada aksi lalu dalam Liga Super, Kelantan United berjaya mencipta kemenangan tipis 2-1 mengatasi Kuching City ketika mereka beraksi di halaman sendiri iaitu Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
Pastinya aksi malam ini yang juga akan berlangsung di gelanggang sama memberi motivasi terbaik buat skuad kendalian Ailton Silva untuk terus mencari tiga mata seterusnya.
Para pemain seperti OJ Porteria, Indra Putra Mahayuddin, Ismahil Akinade, serta barisan serangan lain akan dipertaruhkan jurulatih tersebut untuk menggempur pertahanan Penang.
Apapun, jangkaan perlawanan pastinya akan sengit sepanjang tempoh 90 minit berlangsung kerana masing-masing tidak rela terlepas tiga mata penting untuk memperbaiki kedudukan tersendiri dalam Liga Super 2023.