Adakah Indonesia Akan Benar-Benar Untung Tinggalkan AFF Untuk EAFF?

Indonesia EAFF

Sejak akhir-akhir ini desakan daripada peminat-peminat bola sepak Indonesia agar Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menarik diri daripada ASEAN Football Federation (AFF) dan menyertai East Asian Football Federation (EAFF) semakin meningkat.

Malah baru-baru ini Ketua Umum PSSI, Mochamad Iriawan mendakwa cadangan tersebut telah disampaikan kepada EAFF melalui setiausaha agung mereka, Yunus Nusi dan disambut dengan baik oleh EAFF.

Persoalannya, adakah Indonesia benar-benar mendapat keuntungan dengan menyertai EAFF? Ramai peminat Indonesia memberi alasan pasukan kebangsaan Indonesia akan memperoleh lebih banyak peluang berlawan dengan pasukan-pasukan kuat seperti Jepun, Korea Selatan dan China.

Nasihat saya, usah terlalu yakin, pak. Kejohanan utama EAFF, iaitu pusingan akhir EAFF E-1 Football Championship yang kebiasaannya dianjurkan dua tahun sekali hanya disertai oleh 4 negara.

China, Jepun dan Korea Selatan dijamin tempat mereka sementara baki satu tempat lagi akan direbut oleh negara-negara lain dalam dua pusingan kelayakan. Australia yang menjadi pasukan jemputan pada tahun 2013 juga terpaksa melalui pusingan kelayakan.

Pusingan kelayakan pertama biasanya akan disertai oleh beberapa pasukan bawahan dalam EAFF seperti Chinese Taipei (Taiwan), Guam, Mongolia, Macau dan Northern Mariana Islands. Pemenangnya pula akan menyertai 3 pasukan lain di pusingan kedua.

Berdasarkan ranking terkini, Indonesia mungkin akan terus bermain di pusingan kedua. Dua pasukan terkuat yang biasanya menanti di pusingan ini ialah Korea Utara dan Hong Kong. Berdasarkan prestasi semasa, Indonesia mampu memberikan saingan sengit kepada kedua-dua pasukan ini.

Sekiranya Indonesia berjaya layak ke pusingan akhir, penyokong timnas Indonesia usah bermimpi yang mereka akan menentang pasukan-pasukan yang membariskan pemain-pemain seperti Son Heung-min, Maya Yoshida, Takumi Minamino, Hwang Hee-chan dan ramai lagi bintang yang berpengkalan di Eropah.

Untuk kejohanan pada tahun 2022, Jepun menghantar pasukan yang dibarisi oleh pemain-pemain J-League kecuali seorang yang bermain di Segunda Division di Sepanyol. 100% skuad Korea Selatan bermain di K-League manakala China pula menghantar skuad B-23 yang bermain di Chinese Super League, League One dan League Two.

Hanya Hong Kong yang menghantar skuad utama mereka, itu pun dibelasah 0-6 oleh Jepun pada perlawanan pertama. Barisan pemain-pemain Jepun B dan Korea Selatan B ini sebenarnya sudah terlalu kuat buat Indonesia.

Timnas Indonesia mungkin mampu menundukkan pasukan B-23 China tetapi adakah ini yang dikatakan pasukan-pasukan yang lebih kuat seperti yang diharapkan oleh peminat-peminat bola sepak Garuda?

Hakikatnya, hanya ada dua cara untuk pasukan-pasukan lemah di Asia mendapat peluang melawan pasukan-pasukan gergasi di benua ini.

Pertama, melalui undian pusingan kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia yang merentasi seluruh negara di bawah AFC.

Kedua, faktor nasib. Sebagai contoh, perlawanan persahabatan antara Jepun dan Malaysia pada tahun 2004 di Kashima yang berkesudahan Jepun menang 4-0. Yang terakhir, Australia yang diketuai oleh Lucas Neill membelasah Malaysia 5-0 pada tahun 2011 di Canberra.

Entah apa strategi pengurusan kedua-dua pasukan ini menjemput pasukan negara untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad utama mereka.

Jika pasukan-pasukan yang lebih kuat yang dicari oleh Indonesia, EAFF bukan tempatnya kerana skuad simpanan Jepun dan Korea Selatan sama kuat malah mampu dikalahkan oleh Vietnam dan Thailand. Jika kejuaraan yang mereka dambakan akibat susahnya menjadi juara di Asia Tenggara, EAFF juga bukan tempatnya.

South Asian Football Federation (SAF) yang dianggotai oleh India dan negara-negara Asia Selatan lain mungkin lebih sesuai. Jika rajuk Indonesia berlanjutan hingga ke AFC yang beribu pejabat di Malaysia, Oceania Football Confederation (OFC) juga sesuai mengambil kira faktor geografi.

Perlawanan “derby” Indonesia-Papua New Guinea pasti menarik untuk ditonton. Walau bagaimanapun, saya berpendapat, sekiranya Indonesia benar-benar meninggalkan AFF, kita tidak perlu menunggu lama untuk melihat mereka kerinduan dengan sorakan penonton di Bukit Jalil, Rajamangala dan Mỹ Đình serta aksi di Sukan SEA untuk merebut ibu segala pingat emas.

Kesimpulannya, penyertaan Indonesia ke dalam EAFF tidak akan memberi faedah yang banyak kepada prestasi timnas mereka. Sekiranya mereka berfikir dengan rasional mengatasi emosi, mereka pasti akan sedar yang kekal dalam AFF masih lagi jalan terbaik buat masa depan bola sepak Indonesia.

Nota editor: Artikel ini merupakan sumbangan Abuzaid Sekak. Jika anda ingin berkongsi penulisan anda, hantarkan artikel 300 patah perkataan anda dalam format MS Word ke [email protected] .

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN