Adakah Hati Wan Kuzain Sudah Tertinggal Di Malaysia?

Wan Kuzain Malaysia

Kira-kira dua tahun lalu, ketika menghabiskan beberapa minggu di Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal pernah ditanya dalam satu temubual sama ada beliau berminat untuk mewakili skuad kebangsaan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Pemain berdarah Malaysia yang berpengkalan di Amerika Syarikat (AS) itu tidak menolak mengenai kemungkinan tersebut kerana yakin bola sepak negara mempunyai masa depan yang baik berdasarkan pencapaian pasukan muda negara di beberapa kejohanan besar di Asia.

Bagaimanapun pada waktu itu beliau masih berbelah bahagi untuk membuat keputusan kerana baginya AS dan Malaysia kedua-duanya mempunyai makna yang besar kepada hidupnya.

“Satu negara tidak lebih ‘tinggi’ daripada satu yang lain. Akhirnya apabila pilihan perlu dibuat, ianya sudah tentu tidak menjadi keputusan yang mudah untuk dilakukan,” ujar Kuzain ketika bercakap dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1.

“Ia memerlukan banyak perkara untuk difikirkan. Saya perlu berbincang dengan banyak pihak termasuk kawan-kawan dan keluarga. Tetapi satu hari nanti saya tetap perlu memutuskannya.”

Wan Kuzain sempat berlatih bersama skuad bawah 22 tahun (B-22) negara di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee dan hampir mewakili Malaysia untuk kejohanan Sukan SEA 2019 di Filipina, namun hasratnya itu terbantut selepas mengalami masalah dokumentasi.

Setelah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan penyertaan Dion Cools bersama pasukan negara, Wan Kuzain yang kini beraksi untuk kelab USL Championships, Rio Grande Valley FC dilihat membuat ciapan emoji ‘thinking face’.

Ia sekaligus menimbulkan pelbagai reaksi dan persoalan dalam kalangan netizen. Malah Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin juga sempat memberikan responnya dan menjelaskan pihaknya tidak pernah gagal untuk follow up mana-mana pemain berdarah kacukan yang beraksi  cemerlang di luar negara.

Bakat Wan Kuzain jelas amat dihargai oleh komuniti bola sepak di negara ini.

Ketika kunjungan singkatnya di negara ini pun beliau telah dibawa ke program klinik bola sepak di beberapa buah sekolah bagi memberikan tunjuk ajar dan berkongsi pengalamannya dan menerima respon yang positif daripada para peminatnya di Malaysia.

“Setiap kali saya melawat [negara ini], saya boleh merasakan kasih sayang dan rasa dialu-alukan. setiap kali saya berjalan di mana-mana, saya diminta untuk bergambar bersama.”

“Saya sangat menghargainya. Terima kasih kepada semua peminat serta penyokong bola sepak Malaysia dan semua pihak secara umumnya. Semuanya baik-baik sahaja sejak mula saya sampai di sini.”

Adakah ini bermakna hati Wan Kuzain sudah tertinggal di Malaysia?

baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:

4 Perlawanan 13 Hari, Van Marwijk Sedar Tekanan Dihadapi UAE

“Terima Kasih TMJ!” – Dion Cools

Matt Davies Kekalkan Posisinya, Cheng Hoe Ada Peranan Lain Untuk Dion Cools

Leave a Reply