Kedah Darul Aman (Kedah) baru sahaja mencatat kekalahan mengejut 0-3 di tangan Kuching City bagi aksi suku akhir Challenge Cup dalam aksi yang berlangsung di laman sendiri iaitu Stadium Darul Aman (SDA).
Menerusi keputusan agregat 0-4, Sang Kenari sah tersingkir untuk mara lebih jauh bagi saingan Challenge Cup musim ini selepas lebih awal mereka diketepikan untuk kejohanan Piala Malaysia 2023.
⚔ FULL TIME ⚔
Sang Kenari terpaksa akur menamatkan kempen Challenge Cup 2023 di peringkat suku akhir. Fokus sepenuhnya tertumpu pada Liga Super musim ini.
FT | KDA FC 0 – 3 KUCHING CITY FC (AGG : 0-4)
⚽ 9' Abu Kamara (KUC)
⚽ 72' 89' Pedro Henrique (KUC) pic.twitter.com/pyUWcmvI0m— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) October 4, 2023
Musim pertama bawah kendalian Nafuzi Zain, segalanya tidak begitu berjalan dengan lancar buat pasukan ini untuk tampil konsisten dalam setiap perlawanan dihadapi selepas kegagalan Kedah untuk cuba merebut kejuaraan domestik lain seperti Piala FA dan Piala Malaysia.
Malah, untuk saingan Challenge Cup juga menyaksikan pasukan tersebut kini tersingkir lebih awal walaupun dibarisi pemain berpengalaman serta diberi tumpuan.
Apapun, Nafuzi tetap berjaya memacu pasukan itu untuk sekurangnya kini berada di tangga ketiga Liga Super dan berpeluang memintas Selangor untuk melayakkan diri ke saingan Asia musim depan.
Ketika ini, persoalan timbul mengenai prestasi semasa Kedah yang dianggap sangat menurun dan bergelut untuk mencapai konsistensi di atas padang dalam setiap perlawanan dihadapi.
Ada yang mempersoalkan kredibiliti Nafuzi selaku jurulatih utama pasukan yang kurang berkesan dalam membentuk taktikal lebih ampuh di atas padang.
Tak kurang juga yang kini mempertikaikan tentang kualiti segelintir pemain Sang Kenari yang semakin menurun dan tidak memberi impak besar ketika aksi berdepan Kuching City.
Namun, isu paling popular kedengaran kini ialah tentang masalah gaji yang membelenggu pasukan tersebut dan sudah berlanjutan sejak beberapa bulan lalu.
Isu masalah gaji dalam saingan bola sepak Malaysia ini bukan sesuatu yang baharu selepas ianya sudah pun dibangkitkan sejak beberapa tahun lalu lagi dengan membabitkan banyak pasukan.
Malah, musim ini sahaja Kelantan antara pasukan yang sangat popular tentang isu gaji sehingga ia disuarakan sendiri melalui beberapa bekas pemain menerusi media sosial.
Kini, Kedah pula menjadi pasukan baharu yang dikaitkan dengan isu gaji dan ianya pasti menghampakan para penyokong jika perkara tersebut benar selepas segalanya mula tampil positif pada awal musim selepas pasukan tersebut diambil alih Tan Sri Dr. Daud Bin Bakar selaku penaung baharu.
📹 HIGHLIGHTS: @kda_fc 0-3 @OfficialKCFC
Abu Kamara menghasilkan gol pembukaan seawal minit ke-9 sebelum Pedro Henrique menambah jaringan pada minit ke-73 dan minit ke-89 untuk memastikan Kuching City FC mara ke pusingan seterusnya.#MFLChallengeCup2023 #DemiLigaKita
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 4, 2023
Namun, bukti kukuh untuk menyatakan tentang Kedah yang dilanda isu pembayaran gaji masih belum diketahui sejauh mana kebenarannya dan ianya hanya berbunyi di media sosial.
Kami di Semuanya BOLA berharap supaya isu gaji yang melanda kebanyakan kelab di Malaysia sebelum ini tidak lagi berulang tatkala, sukan bola sepak negara kita dilihat kian giat berkembang dan mula mendapat perhatian ramai.