Pemain bola sepak profesional iaitu Faisal Halim menyatakan diri beliau kini sedia untuk kembali beraksi dengan lebih baik pada tahun ini selepas dirinya sedikit menyepi baik buat Selangor atau Harimau Malaya.
Apa tidaknya, Faisal hampir untuk terpaksa melupakan hasrat sepenuhnya dalam dunia bola sepak profesional kerana kesan kecederaan dialami teruk dialami pada sebahagian besar tubuhnya.
Tanggal 5 Mei lalu, dunia bola sepak Malaysia digemparkan dengan siri serangan dilakukan oleh dua penjenayah kepada Faisal menerusi simbahan asid sehingga menyebabkan kecederaan parah dialami pemain bola sepak kelahiran Pulau Pinang itu.
Kesan simbahan itu menyaksikan Faisal terpaksa mengharungi beberapa pembedahan serta pemulihan sehingga ia merencatkan perjalanan karier pemain tersebut yang sedang berada pada tahap kemuncak.
Namun, pemain kelahiran Pulau Pinang ini tidak mengalah apabila beliau kembali bangkit secara perlahan-lahan untuk meraih minit permainan serta meningkatkan semula tahap kecergasan untuk mencapai piawaian diperlukan.
Bersama Selangor pada tahun lalu, Faisal dianggap berjaya menampilkan kembali prestasi beliau pada tahap lebih baik selepas diberi peluang di saingan domestik serta Asia.
Untuk tahun ini, pemain sayap Harimau Malaya itu mengakui sudah pun bersedia sepenuhnya untuk beraksi semula serta berusaha lebih baik demi mencapai sentuhan berbisa seperti terdahulu.
Cuma buat masa ini, pemain lincah itu mengakui memerlukan sedikit masa dan ruang untuk memperbaiki segala kekurangan sebelum percaya semuanya bakal menjadi lebih baik.
“Sekarang sudah sampai waktu untuk saya kembali. Bagi masa dan ruang untuk saya perbetulkan apa-apa yang ‘karat’ sikit.
“Sekarang sudah 100 peratus bersedia. Saya sudah bermain macam normal, sudah bermain 90 minit.
“Cuma saya nak cari lagi sentuhan-sentuhan yang berbisa seperti jaringan, ‘dribble’ (kawalan bola) dan ‘speed’ (kepantasan) saya seperti sebelum ini,” kata beliau menerusi perkongsian telah dibuat oleh Kosmo sebelum itu.
Pada masa sama, Faisal turut menyatakan beliau tidak menolak untuk kembali mewakili pasukan kebangsaan jika diberi peluang namun tidak meletakkan sepenuh pengharapan untuk perkara itu.
“Fikiran saya mudah sahaja, kalau saya bagus…orang ambil lah. Kalau saya tak bagus, ketepikan saya.
“Saya ada kelab saya dan saya boleh usaha untuk kelab. Saya boleh buat yang terbaik untuk kelab saya.
“Tidak tahu lagi (khabar angin beraksi semula untuk skuad kebangsaan). Sudah setahun saya tidak dapat call up dengan kecederaan yang saya alami,” jelasnya akhir sekali.