Adakah Cerita Bawa Faisal Halim Ke Korea Selatan Sekadar Retorik?

Baru-baru ini dilaporkan pemain bintang Selangor iaitu Faisal Halim telah mendapat perhatian daripada dua pasukan pasukan gergasi dalam saingan K League 1 di Korea Selatan ekoran aksi cemerlangnya sebelum itu bersama Harimau Malaya.

Faisal bukan lagi nama asing dalam arena bola sepak di Malaysia, selepas pemain tersebut mencipta fenomena tersendiri menerusi aksinya yang berkualiti sejak beberapa musim lalu serta ketika bermain buat skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.

Memiliki segala kelebihan yang didambakan setiap pemain di posisi serangan, seperti kelincahan, bijak, serta tajam di hadapan gol, maka tidak hairan banyak pasukan mengintai peluang mendapatkan beliau.

Ketika ini, Faisal beraksi bersama Selangor dan pemain tersebut tampil begitu cemerlang setelah berjaya meledak lima gol serta empat bantuan jaringan daripada 11 penampilan dalam Liga Super 2023.

Baru-baru ini, wartawan Astro Arena iaitu Fina Nasrom telah berkongsikan satu sesi temu bual membabitkan beliau bersama seorang ejen pemain bola sepak dari Korea Selatan iaitu Lee Jeong yang turut mengulas tentang Faisal.

Jelas Jeong, beliau mengakui sangat kagum dengan kualiti yang ditampilkan pemain tersebut selepas melihat beliau beraksi dalam beberapa perlawanan.

“Saya sudah pun melihat pemain Selangor berjersi nombor 7 itu, dia bermain dengan sangat bagus ketika itu.

“Jadi saya hubungi pasukan bola sepak dari Korea Selatan, dan ada dua kelab berminat akan Faisal iaitu Suwon Samsung dan Incheon United daripada saingan K1,” jelas Jeong kepada Fina.

Walaupun begitu, sejauh mana kesahihan cerita pemain tersebut akan berhijrah ke Korea Selatan selepas ianya dipertikaikan sendiri oleh ejen kepada Faisal iaitu Joe Berbatov.

Ini kerana, Joe telah pun meminta agar pasukan yang berminat untuk tunjukkan terlebih dahulu surat tawaran kepada beliau jika menginginkan khidmat Faisal.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika beliau membalas satu laporan daripada wartawan Astro Arena, iaitu Zulhelmi Zainal Azam yang berkata tentang salah seorang pemain kebangsaan bakal mengikut jejak langkah R. Kogileswaran di Korea Selatan.

“Seorang pemain berstatus pemain kebangsaan bakal ikut jejak langkah R. Kogileswaran ke Liga Korea. Perbincangan sedang berjalan, namun difahamkan kelab asal sedia melakukan ‘mutual agreement’,” jelas Zulhelmi.

Berita perpindahan Faisal ke luar negara bukan lagi sesuatu yang baru, selepas pemain ini kononnya pernah mendapat tawaran dari Portugal serta Sepanyol pada tahun 2021.

Namun ianya kekal sepi selepas kelab dari Eropah itu dilaporkan hanya ingin mengetahui tentang kontrak serta gaji pemain tersebut, sebelum Faisal terus kekal dalam saingan Liga Malaysia.

Apapun, sehingga kini belum ada sebarang tawaran rasmi dikeluarkan atau apa-apa kenyataan positif yang memungkinkan Faisal mempunyai peluang lebih besar untuk beraksi di luar negara.

Berdasarkan kelebihan Faisal yang gah ketika ini bersama kelab dan skuad kebangsaan serta dibantu oleh jenama Selangor itu sendiri kini, maka tidak mustahil jika lebih banyak pasukan luar negara lain turut berhasrat serta menunggu masa sesuai untuk menawarkan kontrak kepadanya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN