Persoalan terus timbul kini jika Arif Aiman Hanapi dan Tommy Mawat Bada sepatutnya dilayangkan kad merah pada aksi Liga Super yang telah pun berlangsung semalam.
Terdahulu, saingan tertunda Liga Super 2024/2025 telah pun berlangsung semalam dengan membabitkan pertemuan antara Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Pada aksi tersebut, Perak hadir dengan status tuan rumah walaupun beraksi di SSI dengan mereka mencatat kekalahan 0-5 kepada JDT bersama aksi cukup tidak konsisten.
Lima gol JDT diledak oleh Bergson yang cemerlang mencatat hatrik serta selebihnya menerusi penyerang naturalisasi Harimau Malaya, Romel Morales untuk menutup malam gemilang mereka.
Sepanjang aksi berlangsung, beberapa insiden membabitkan pemain kedua pasukan tersebut berlaku dan ada keputusan pengadilan yang dibuat oleh Razlan Jofri Ali dianggap sedikit meragukan.
Kontroversi membabitkan kualiti pengadil bola sepak profesional di Malaysia bukan lagi sesuatu yang baharu kerana ia telah dipertikaikan dalam kalangan peminat serta pemerhati bola sepak tempatan sejak beberapa tahun lalu.
Malah, untuk musim ini juga beberapa keputusan pengadil menerima kritikan keras sehingga sesetengah peminat meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial.
Seperti situasi semalam, terjadi insiden pergaduhan antara Arif Aiman dan Tommy Mawat di penghujung perlawanan dengan kedua pemain tersebut menggunakan sentuhan fizikal antara satu sama lain.
Kekecohan itu menyaksikan rakan sepasukan lain termasuk pengadil terpaksa masuk campur untuk meleraikannya sebelum keduanya sekadar menerima layangan kad kuning walaupun Arif dikesan telah menumbuk Tommy.
Menjawab kepada persoalan tersebut, pemilik JDT iaitu Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail menyifatkan kedua pemain itu sepatutnya menerima layangan kad merah.
“Ref (pengadil) patut (berikan) red card (kad merah) untuk kedua-dua pemain bergaduh,” kata Tunku Ismail menerusi perkongsian dibuat menerusi Utusan Malaysia.
Seperti diketahui, Tunku Ismail antara individu yang tampil begitu lantang memperjuangkan bola sepak di Malaysia daripada segi pembangunan serta kelemahan semasa.
Malah, baginda juga pernah memberi teguran suatu ketika mengenai kualiti pengadil profesional Malaysia serta antara menyokong penggunaan VAR.
Kredit foto: The Photoshooterz