Pemain tengah berpengaruh Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Juan Muniz Gallego memasang impian supaya pasukan diwakilinya itu mampu untuk mara lebih jauh pada saingan AFC Champions League Elite (ACLE) musim ini.
Terdahulu, JDT berjaya merekodkan kemenangan 3-0 mengatasi cabaran kelab gergasi dari Korea Selatan iaitu Ulsan HD ketika aksi berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor.
Pada aksi tersebut, kejayaan diraih JDT sangat bermakna kerana pasukan itu berjaya mengetepikan juara K League 1 serta langsung tidak dibolosi walau satu gol.
Bertindak selaku perancang utama, kelibat Juan Muniz pada aksi itu juga wajar dipuji kerana ketenangan beliau mengawal tempo permainan serta kreatif mencipta serangan buat rakan sepasukan lain.
Disebabkan itu beliau sentiasa menjadi pilihan utama Hector Bidoglio untuk aksi Harimau Selatan di pentas tertinggi Asia pada saingan musim ini.
Melihat kepada momentum cemerlang wakil kelab dari Malaysia itu kini, Juan Muniz mengakui enggan untuk berada pada tahap selesa serta ingin fokus memburu kemenangan pada aksi mendatang.
“Ianya adalah kemenangan yang penting di tempat sendiri. Kami menambah tiga lagi mata menjadikan jumlah tujuh mata keseluruhan dan selepas ini perlawanan yang sukar di China.
“Kami akan cuba bawa membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata bagi membuka laluan layak ke peringkat seterusnya namun kami akan ambil pendekatan dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain,” kata beliau menerusi perkongsian Berita Harian.
Pada masa sama, bekas pemain kebangsaan Sepanyol itu turut gembira selepas pasukan diwakilinya itu berjaya bangkit untuk meraih kemenangan selepas dikecewakan Gwangju FC sebelum ini.
Terdahulu, JDT mencipta kekalahan 1-3 kepada Gwangju dan ianya jelas mengundang rasa kecewa buat kem Harimau Selatan kerana mereka lebih menguasai permainan berbanding lawan.
“Kami sentiasa bermain baik dalam saingan ACLE terutama di laman sendiri dan sememangnya merugikan apabila kami tidak membawa pulang sekurang-kurang satu mata di Gwangju tetapi hari ini, kami bermain baik sejak awal dan berjaya menguasai permainan.
“Semua sedar kelab dari Korea itu gemar bermain secara fizikal jadi kami kekalkan intensiti dan banyak berlari sejak permainan bermula ditambah dengan kualtiti yang kami ada dan akhirnya tiga mata ini sangat penting buat kami,” ujar beliau akhir sekali.
Carta semasa menyaksikan JDT kini berada pada kedudukan keempat bagi Kumpulan Zon Timur menerusi dua kemenangan, satu seri serta satu kekalahan daripada empat perlawanan.