Undian untuk saingan AFC Champions League musim 2023 (ACL) secara rasminya sudah pun selesai dengan wakil Malaysia iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) telah diletakkan dalam Kumpulan I.
Sesuatu yang menarik buat JDT pada saingan ACL kali ini, ianya ibarat seperti tahun lalu selepas pasukan tersebut sekali lagi diletakkan bersama wakil dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai serta kelab gergasi Jepun iaitu Kawasaki Frontale.
Our AFC Champions League 2023-24 schedule! 🔵🔴#AFCChampionLeague #LuaskanKuasamuJohor pic.twitter.com/hm6esyenU6
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) August 25, 2023
Bezanya, kali ini ianya turut disertai wakil dari Thailand iaitu BG Pathum berbanding Guangzhou Evergrande pada tahun lalu yang mewakili China.
Jika musim lalu, JDT yang tampil selaku ‘underdog’ berjaya mencipta kejutan dalam peringkat kumpulan untuk melayakkan diri sehingga ke pusingan suku akhir saingan ACL.
Ianya merupakan sejarah baharu dilakar pasukan tersebut selepas kejutan dicipta mereka sebelum itu dengan tampil hebat berdepan kelab pilihan ramai seperti Kawasaki Frontale serta Ulsan Hyundai.
Malah, Guangzhou Evergrande juga menjadi mangsa amukan JDT di pentas Asia, selepas wakil dari China itu menerima kekalahan besar 0-5 kepada wakil Malaysia tersebut.
Paling manis, pastinya ketika Stadium Sultan Ibrahim (SSI) menjadi saksi JDT mengejutkan Ulsan Hyundai sebanyak dua kali menerusi kemenangan 2-1 untuk memberi tamparan besar buat salah satu gergasi bola sepak di Asia tersebut.
Kejayaan itu menyaksikan JDT menamatkan cabaran peringkat Kumpulan I selaku juara untuk mara ke suku akhir bertemu Urawa Red Diamonds dengan begitu gah sekali.
Walaupun begitu, hasrat JDT untuk sekali lagi melakar sejarah lebih jauh dalam saingan tersebut terkandas, setelah Urawa Reds jelas tampil dengan lebih berkualiti di laman sendiri untuk menewaskan Harimau Selatan menerusi keputusan penuh 0-5.
Hadir sekali lagi selaku calon tunggal Malaysia di pentas tertinggi Asia itu, JDT dilihat telah membuat persediaan dengan begitu rapi menerusi rombakan baharu dengan membabitkan beberapa posisi.
Pemain berkualiti tinggi seperti Oscar Arribas, Juan Muniz Gallego, Heberty Fernandes, Takahiro Kunimoto, Diogo Luis Santo antara watak-watak penting ditandatangani JDT dan sudah pun membuktikan kewibawaan mereka dalam saingan peringkat domestik.
Malah, ianya sudah pun dibuktikan JDT musim ini tentang kualiti mereka jauh lebih bersedia untuk saingan ACL berbanding tahun lalu dengan sentuhan Esteban Solari memastikan rekod kemenangan dilakar dalam setiap perlawanan sejak awal saingan Liga Malaysia (Liga M) berlangsung.
Tak Perlu Falcao, JDT Buktikan Masih Unggul Bersama 2 Import Serangan Baharu
Peluang mara ke suku akhir dilihat terbuka buat JDT jika dilihat pada prestasi semasa serta kualiti pemain dimiliki, namun mereka juga perlu berwaspada akan persiapan sudah dibuat pasukan lawan.
Misalnya BG Pathum, pasukan ini tampil dengan lebih ampuh khususnya di posisi serangan mereka dengan Chanathip Songkrasin bakal menjadi pemain kunci kelab tersebut.
Apapun, kami dari Semuanya BOLA mendoakan supaya JDT mampu terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa serta mencipta lagi sejarah baharu untuk menjadi kebanggaan para penyokong Harimau Selatan.