ACL 2020: JDT Cemerlang Tundukkan Suwon Di Laman Sendiri

JDT

Johor Darul Ta’zim (JDT) terus cemerlang di Stadium Sultan Ibrahim selepas berjaya menundukkan Suwon Samsung Bluewings 2-1 pada aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020 yang berlangsung sebentar tadi.

Meskipun Suwon Bluewings mengawal permainan dengan baik pada separuh masa pertama, skuad bimbingan Lee Lim-saeng itu gagal untuk menghasilkan sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol JDT yang dikawal Farizal Marlias.

Mereka juga dilihat bergelut untuk memecah masuk kawasan penalti tuan rumah berikutan kekentalan jentera pertahanan yang dikepalai Mauricio Dos Santos dan Fadhli Shas.

Keadaan itu memberikan peluang buat JDT yang sesekali melancarkan beberapa gerakan menarik ke kubu pasukan pelawat itu dan segalanya membuahkan hasil pada minit ke-13 apabila Harimau Selatan dihadiahkan sepakan penalti.

Sepakan itu diberikan pengadil perlawanan, Alireza Faghani susulan kekasaran dilakukan Min Sang-Gi dalam usaha beliau untuk menghalang kemaraan Diogo Dos Santos yang menerima lorongan menarik daripada Nazmi Faiz Mansor dari tengah padang.

Gonzalo Cabrera yang mengambil sepakan itu tidak mensia-siakan peluang untuk membuka tirai jaringan walaupun penjaga gol Suwon, No Dong-Geon sudah dapat mengagak arah tendangan pemain kelahiran Argentina tersebut.

JDT berpeluang untuk menambah jaringan kedua apabila hantaran jauh dilakukan Mauricio terus mencari Diogo yang mengawal bola dengan baik sehingga ke dalam kawasan penalti Suwon, bagaimanapun Doneil Henry melakukan bentesan kemas bagi menggagalkan usaha itu.

Memasuki babak kedua, Suwon memperkemaskan aksi dengan mencipta percubaan tepat pertama selepas tandukan Adam Taggart yang tidak dikawal pertahanan JDT berjaya ditangkap kemas Farizal pada minit ke-47.

Berselang empat minit kemudian, wakil Korea Selatan itu kembali menyamakan kedudukan apabila pemain gantian, Terry Antonis melepaskan sepakan ‘placing’ kaki kiri yang hanya mampu dipandang Farizal.

Stadium Sultan Ibrahim kemudiannya sekali lagi bergema dengan lonjakan kegembiraan penyokong tuan rumah pada minit ke-73 setelah Mauricio menanduk masuk bola hasil hantaran lintang Nazmi Faiz untuk memberikan kelebihan buat JDT.

Bagaikan mendapat tonik yang cukup berguna daripada jaringan tersebut, JDT menggandakan asakan dan hampir mengukuhkan kedudukan di minit ke-80 tetapi percubaan Diogo sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Suwon.

Keputusan 2-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk menyaksikan JDT kini menghuni tangga kedua saingan kumpulan G selepas mengumpul tiga mata selepas melalui dua perlawanan.

Kredit foto: JOHOR Southern Tigers

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN