Kelab gergasi Jepun, Kashima Antlers waspada terhadap ancaman juara Liga Super 5 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila bakal bertemu di Stadium Larkin untuk perlawanan keempat kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) malam ini.
Bercakap dalam sidang media, jurulatih Kashima, Go Oiwa membayangkan akan menurun barisan pemain yang berbeza berbanding ketika menang 2-1 ke atas skuad kendalian Benjamin Mora pada bulan Mac lepas.
Malah, beliau juga mengakui tugas sukar sedang menanti mereka kerana menjangkakan JDT akan memberi saingan yang sengit untuk memburu kemenangan yang pertama dalam saingan ACL musim ini.
“Ini adalah perlawanan getir buat kami untuk memburu kemenangan. Bagaimanapun, ia bukanlah tugas yang mudah kerana JDT mempamerkan corak permainan pantas dan barisan defensif mereka cukup teratur serta sukar dirobekkan.
“Apa-apapun, kami sudah membuat persiapan rapi dan akan pastikan untuk mendominasi permainan pada perlawanan esok. Para pemain juga sudah bersedia sepenuhnya berdepan segala kemungkinan dalam misi membawa pulang tiga mata ke Jepun,” katanya dalam utusan malaysia
Sementara itu, pemain pertahana Kashima, Koki Anzai berkata beliau dan rakan sepasukannya berdepan cabaran cuaca dan mengalami sedikit kesukaran untuk membiasakan diri bermain di atas padang rumput lembu (cowgrass).
Namun begitu, ia bukan penghalang utama untuk memastikan tiga mata penuh berjaya dibawah pulang dari Stadium Larkin.
“Ini adalah satu pengalaman berbeza buat kami kerana tidak membiasakan diri bermain dalam keadaan cuaca yang panas seperti di sini. Keadaan padang juga berbeza dan ia sedikit mengganggu kelancaran corak permainan.
“Bagaimanapun, kami akan bermain seperti biasa dan yang penting sekali ialah sentiasa memberi tumpuan penuh sepanjang 90 minit permainan pada perlawanan esok,” katanya.