Quantcast

BERITA

ACL 2019: JDT Tekad Bawa Pulang Tiga Mata Dari Korea Selatan

Hari ini juara Liga Super 5 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan tugas getir apabila dijadualkan bertemu Gyeongnam FC dalam aksi terakhir peringkat kumpulan AFC Champions League pada pukul 6 petang ini waktu Malaysia.

Berdasarkan pengalaman bertemu lawan yang sama di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin pada bulan lepas yang berakhir dengan keputusan 1-1, barisan kejurulatihan JDT sudah mempunyai formula ampuh untuk diterjemahkan dalam misi membawa pulang tiga mata penuh.

“Ianya akan menjadi perlawanan yang sukar kerana kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk mara ke pusingan yang seterusnya. Kami sebenarnya berdepan pasukan yang kuat. Apabila kami menentang mereka di Larkin, kami gagal memenangi perlawanan tersebut dan ini merupakan peluang terbaik untuk mencuba sekali lagi.

“Beberapa kelemahan sudah diperbaiki dan salah satunya ialah teknik ‘set piece’. Kebanyakan pemain lawan memiliki susuk fizikal yang tinggi dan ini memberikan kelebihan kepada mereka untuk mendapatkan gol melalui ‘set piece’,” kata Benjamin Mora dalam sidang media semalam.

FOTO: JST

Semua pemain skuad Harimau Selatan yang kini sudah berada di Korea kecuali Safawi Rasid yang menjalani penggantungan perlawanan manakala Natxo Insa masih berada dalam sesi pemulihan kecederaannya.

Ketika ini, JDT menghuni tangga terbawah Kumpulan E selepas hanya mengumpul empat mata hasil kemenangan ke atas juara bertahan, Kashima Antlers 1-0 dan keputusan seri ke atas Gyeongnam FC.

Manakala Gyeongnam FC berada di tangga ketiga dengan lima mata dan Kashima Antlers di tangga kedua dengan tujuh mata. Satu lagi pasukan iaitu Shandong Luneng FC sudah mengesahkan tiket ke pusingan seterusnya selepas mengumpul 11 mata.

FOTO: JST

Untuk mendapatkan satu lagi slot ke pusingan kalah mati, JDT wajib menang ke atas Gyeongnam FC sambil mengharapkan Kashima Antlers tewas dengan jaringan yang agak besar.

Ianya tampak mustahil kerana Kashima Antlers sudah pasti mahu bangkit bagi menjaga reputasi selaku juara bertahan. Jika menang ia merupakan bonus buat JDT dan memberi pulangan mata dari segi ranking kelab dan AFC.