ACL 2019: JDT Sedia Lakukan Kejutan Di China

Tugas berat sedang menanti juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila bakal berdepan kelab gergasi dari China, Shandong Luneng FC pada Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Pusat Sukan Olimpik Jinan, malam esok.

Skuad Harimau Selatan itu akan berdepan pemain berkelas dunia seperti Carlos Gilberto, bekas pemain Manchester United, Maroune Fellani dan Graziano Pelle yang pernah bermain untuk Southampton.

Bercakap dalam Berita Harian, kapten JDT, Harris Harun mengakui perlawanan esok lebih mencabar kerana perlu segera menyesuaikan diri dengan keadaan padang dan cuaca yang jauh berbeza dengan di Malaysia.

FOTO: JST

“Sudah tentu ia perlawanan mencabar dan sukar bagi kami kerana kita beraksi di tempat lawan, kami perlu segera menyesuaikan diri dengan keadaan padang di sana dan tempoh tiga hari untuk membuat persiapan rapi mungkin akan menyuntik semangat saya dan rakan sepasukan berdepan kelab China itu.

“Kami baru sahaja selesai aksi menentang FELDA United, baru-baru ini dan keputusan untuk tiba awal di China akan beri kesan untuk pemulihan serta menyesuaikan diri dengan cuaca, ia juga beri ruang kepada kami membuat persiapan.

“Kita sedar mereka ada pemain seperti Felllani yang semua tahu adalah pemain antarabangsa Belgium dan bekas pemain Manchester United. Sudah tentu ia satu cabaran besar buat saya dan rakan sepasukan untuk berdepannya,” katanya.

FOTO: JST

Shandong Luneng FC kini berada di tangga kedua saingan Kumpulan E selepas hanya mencatat dua seri dan mengumpul dua mata manakala JDT berada di tangga terbawah selepas mengumpul satu mata.

Kelab gergasi Jepun, Kashima Antlers menghuni kedudukan teratas kumpulan dengan empat mata menakala Gyeongnam FC dari Korea Selatan pula menghuni tangga ketiga selepas mengumpul dua mata.

Harris juga mendedahkan mereka akan turun beraksi tanpa khidmat Natxo Insa yang mengalami kecederaan dan pada masa yang sama yakin dengan kemampuan pemain yang sedia ada.

“Kami akan turun tanpa Natxo (Insa) namun saya yakin siapa sahaja yang bakal mengisi posisi tengah akan beraksi dengan keyakinan tinggi dan memberi impak positif dalam pasukan, malah kami akan berusaha memberi persembahan mantap dalam perlawanan itu nanti,” katanya.

Leave a Reply

Bacaan Yang Disyorkan Untuk Anda