ACL 2: Harith Haiqal Wajar Dijulang Sebagai Bintang Berharga Selangor

14 Oktober lalu, Harith Haiqal menjadi antara pemain paling hambar ketika mewakili Harimau Malaya di pentas antarabangsa ketika menentang New Zealand bagi aksi persahabatan.

Namun, dalam tempoh lapan hari sahaja diperlukan anak muda ini untuk kembali bangkit di pentas Asia dengan beliau tampil menyinar pada aksi ketiga AFC Champions League Two (ACL 2) semalam.

Pada aksi The Red Giants bertemu wakil dari Korea Selatan iaitu Jeonbuk Hyundai semalam, Harith mendapat tanggungjawab cukup besar untuk menggantikan Safuwan Baharudin yang mengalami kecederaan.

Lilitan kapten dan beraksi selaku pertahanan utama untuk mengekang asakan daripada pasukan pelawat, itulah cabaran getir perlu dihadapi oleh Harith.

Apatah lagi beliau perlu berhadapan dengan impian besar para peminat yang membanjiri stadium demi melihat pasukan kesayangan mereka meraih keputusan positif.

Tatkala dirinya dianggap masih dibayangi aksi lalu sewaktu mewakili Malaysia, pemain berusia 22 tahun itu tampil dengan aksi di luar jangkaan ramai.

Ketenangan, disiplin, serta sikap kepimpinan beliau jelas terserlah pada aksi itu sehingga Harith mampu membentuk gandingan berkualiti bersama Umar Eshmurodov untuk menghalang serangan lawan.

Lebih menarik, sudah tentu detik jaringan gol pembukaan beliau yang memberi kejutan cukup besar buat semua peminat bola sepak yang menyaksikan perlawanan tersebut.

Jaringan gol dihasilkan oleh Harith pada minit ke-31 jelas meransang semangat rakan sepasukan lain untuk terus membuktikan Selangor mampu memberi persaingan kepada pasukan lawan.

Hasilnya, giliran Ali Olwan pula menghadirkan keceriaan kepada kem The Red Giants menerusi jaringan kedua beliau berselang dua minit kemudian sekali gus menjarakkan lagi kedudukan semasa bersama pelawat.

Walaupun pelawat memperoleh gol pada penghujung separuh masa pertama, hasil kepimpinan Harith bersama disiplin pertahanan kelab berjaya mempertahankan keputusan itu sehingga ke wisel penamat.

Kemenangan itu juga menjadikan Selangor terus kebal tanpa kekalahan selepas mereka mengharungi tiga perlawanan pada saingan ACL 2 musim ini bawah kendalian Nidzam Jamil.

Lebih manis, kejayaan itu diperoleh ketika Selangor hadir serba tempang tanpa kebanyakan pemain utama mereka seperti Alvin Fortes, Noor Al-Rawabdeh, serta Safuwan di atas padang.

Foto: Shah Amirul Semuanya BOLA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN