Pemain tengah berpengaruh iaitu Akram Mahinan impi pasukan diwakilinya, Terengganu mampu untuk meraih kemenangan sulung pada perlawanan ketiga mereka berdepan wakil kelab dari Myanmar iaitu Shan United bagi saingan ACC Shopee Cup.
Terdahulu, Terengganu tampil sedikit lesu sepanjang mengharungi dua perlawanan di peringkat kumpulan apabila mereka masih kemarau untuk meraih sebarang kemenangan.
Rekod lalu menyaksikan Sang Penyu mencipta satu kekalahan serta sekali keputusan seri untuk menyukarkan peluang skuad kendalian Badrul Afzan Razali kini mencongak peluang ke peringkat seterusnya.
Bagi aksi akan datang, mereka bakal berkunjung ke gelanggang lawan dan sudah tentu misi kemenangan menjadi keutamaan mereka walaupun ia tampak sedikit sukar.
Wakil dari Malaysia itu juga tidak boleh lagi mencipta sebarang kekalahan atau peluang mereka semakin berliku jika ingin ke pusingan lebih jauh.
Menurut Akram, segalanya masih dapat diperbaiki lagi jika beliau bersama rakan sepasukan lain mencipta kemenangan mengatasi kelab dari Myanmar tersebut.
🏴🏳️ #ShopeeCup 𝐏𝐄𝐑𝐋𝐀𝐖𝐀𝐍𝐀𝐍 𝐒𝐄𝐓𝐄𝐑𝐔𝐒𝐍𝐘𝐀 : 𝐒𝐇𝐀𝐍 𝐔𝐍𝐈𝐓𝐄𝐃 𝐅𝐂 𝐕𝐒 𝐓𝐄𝐑𝐄𝐍𝐆𝐆𝐀𝐍𝐔 𝐅𝐂 🏴🏳️
📆8 Januari 2025 – RABU
⏰7.30 pm ( Waktu Malaysia )
🏟 Stadium Bolasepak Thuwunna, Yangon#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/4tMNVq4Rhn— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) January 5, 2025
Walaupun begitu, pemain kelahiran Kedah tersebut sedar akan cabaran getir bakal dihadapi mereka kerana pasukan itu bakal berkunjung ke gelanggang pasukan lawan.
“Selepas dua perlawanan tanpa kemenangan, sudah semestinya kami idam tiga mata menentang kelab Myanmar itu untuk kami melangkah lebih jauh lagi dalam saingan ini.
“Namun kami sedar ia bukan tugas mudah, selain beraksi di tempat lawan, sudah pasti lawan yang kini menghuni di tangga tercorot kumpulan bermain bermati-matian untuk bangkit mengutip mata pertama mereka.
“Namun kami tetap positif untuk memburu tiga mata, ini kerana kami perlu menang untuk mengintai peluang ke peringkat separuh akhir. Kami perlu buktikan biarpun tanpa penyerang import,” kata Akram menerusi Harian Metro.
Selain beraksi di halaman lawan, pasukan itu juga tampil serba tempang tanpa kehadiran sebarang pemain import untuk menghadapi cabaran kelab lawan.
Ini kerana Terengganu terpaksa melupakan khidmat Ivan Mamut kerana isu kecederaan masih berlaku selain Nelson Bonilla tidak dapat didaftarkan bagi kejohanan tersebut.
Sementara itu khidmat Ismaheel Akinade tidak dapat beraksi kerana Myanmar tidak membenarkan sebarang pemain dari Afrika beraksi di sana.