AC Milan yang berbelanja besar untuk mempersiapkan pasukan bagi musim baru kelihatan masih belum berpuas hati dengan aktiviti pembelian kelab itu apabila kini dalam usaha untuk menawarkan kontrak buat Zlatan Ibrahimovic.
Ibrahimovic tidak ditawarkan kontrak baru oleh Manchester United pada penghujung musim lalu selepas mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada bulan April yang berkemungkinan beliau terlepas peluang untuk beraksi sehingga Krismas nanti.
Jose Mourinho walaubagaimanapun mengakui United boleh menandatangani semula pemain dari Sweden berusia 35 tahun itu untuk beraksi pada babak kedua musim ini.
Namun keinginan AC Milan yang kini dimiliki oleh jutawan dari China itu bakal menjadi saingan buat Mourinho dalam usaha untuk kembali mendapatkan pemain tersebut.
Zlatan Ibrahimovic yang pernah beraksi bersama AC Milan selama 2 musim bermula tahun 2010 hingga 2012 telah menjaringkan 56 gol dalam 85 perlawanan di San Siro. Musim pertama di Milan menyaksikan beliau dipinjamkan dari Barcelona.
Milan telah menghabiskan lebih dari £ 160 juta pada musim panas ini kerana pemilik baru kelab itu ingin membina semula skuad itu dan telah dikaitkan dengan beberapa penyerang antaranya termasuklah penyerang Torino, Andrea Belotti, Diego Costa (Chelsea) dan Nikola Kalinic dari Fiorentina.
Tetapi difahamkan kelab Itali itu sedang mempertimbangkan untuk merekrut Ibrahimovic yang kini dalam proses pemulihan kecederaannya.
United telah memberikan keizinan buat Ibrahimovic untuk menggunakan kompleks latihan Carrington bagi menjalani proses pemulihan.
Sebagai rekod, Ibrahimovic telah menghasilkan 28 jaringan buat Manchester United dalam semua pertandingan musim lalu dan beliau merupakan penjaring terbanyak buat kelab.
Sumber :
The Telegraph (2017) – http://www.telegraph.co.uk/football/2017/08/10/ac-milan-rival-manchester-united-zlatan-ibrahimovics-signature/