AC Milan masih belum menutup pintu perpindahan mereka meskipun sudah membawa masuk ramai pemain bintang ke kelab tersebut.
Laporan oleh wartawan Sky Sports, Kaveh Solhekol yang memberitahu bahawa kelab tersebut kini menumpukan usaha untuk membawa masuk Pierre-Emerick Aubameyang ke San Siro.
Masa depan Aubameyang di Dortmund serba tidak menentu selepas pemain tersebut dengan terbuka memberitahu beliau akan mempertimbangkan sebarang tawaran dari kelab lain ke atas beliau.
Selain daripada AC Milan, Aubameyang turut dikaitkan dengan Real Madrid, PSG dan beberapa kelab China. AC Milan akan menawarkan gaji £135,000 seminggu kepada pemain tersebut untuk menjadikan beliau pemain bergaji paling mahal di Itali buat masa ini.
Borussia Dortmund berkeras dengan harga £70 juta yang mereka letakkan ke atas penyerang dari Gabon tersebut.
Aubameyang memulakan karier remaja beliau dengan akademi AC Milan. Namun dilepaskan ke St-Etienne dengan nilai £1.5 juta kerana alasan potensi yang kurang meyakinkan.
Halangan utama Milan adalah permintaan gaji mingguan Aubameyang yang dilaporkan £200,000 seminggu.
Di England, Chelsea juga dilaporkan bakal memburu tandatangan Aubameyang selepas mereka terlepas untuk menandatangani Romelu Lukaku. Chelsea masih dalam proses untuk mengeluarkan Diego Costa yang bergaji £185,000 seminggu.
Selain itu, Milan yakin akan dapat memujuk Donnarumma untuk kekal di AC Milan. Sebelum ini AC Milan sudah menandatangani Fabio Borini, Franck Kessie, Andrea Conti, Ricardo Rodriguez, Mateo Musacchio dan Andre Silva.
Milan dalam usaha untuk menjual Carlos Bacca yang dijangka akan menyertai Marseille. Ini akan membantu dari segi menampung dana untuk membayar gaji Aubameyang.