Pemain muda Celtic, Moussa Dembele menjadi buruan beberapa kelab besar di Eropah selepas musim menakjubkan bersama Celtic.
Dembele antara watak penting dalam kempen treble Celtic musim ini di Scotland.
Terbaru, kelab yang menerima suntikan dana dari pemilik baru, AC Milan dikatakan berminat untuk mendapatkan pemain muda ini.
Sumber Sky Sports mendedahkan yang AC Milan mahu sudah dalam proses perbincangan dengan Celtic tentang potensi untuk mendapatkan pemain itu ke San Siro.
Celtic mendapatkan Dembele dari Fulham dengan yuran perpindahan £500,000. Moussa Dembele menjadi watak yang disukai di Celtic selepas kejayaan beliau menjaringkan hatrik dalam perlawanan pertama beliau untuk Celtic.
Mana tidaknya, perlawanan tersebut juga adalah ketika derbi Old Firm menentang Rangers.
Pemilik baru AC Milan, Yonghong Li sudah memberikan isyarat bahawa beliau mahukan rombakan besar-besaran dalam skuad yang ada.
Misi utama mereka adalah untuk menjadi gergasi Eropah sekali lagi. AC Milan kali terakhir beraksi di UCL adalah pada musim 2013/2014.
Dilaporkan AC Milan telah menghantar bidaan €35 juta untuk Moussa Dembele. Selain dari AC Milan, Monaco juga mahu mendapatkan pemain 20 tahun ini untuk menggantikan Bernardo Silva yang baru sahaja menyertai Manchester City.
Sebelum ini Borussia Dortmund antara kelab pilihan untuk mendapatkan Dembele. Namun dengan pemecatan Thomas Tuchel, Dortmund buat masa ini dalam usaha mencari pengganti Tuchel.
Pengurus baru Dortmund mungkin tidak ada hasrat untuk memiliki Dembele.