AC Milan menang besar dan Lazio pula berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk menang ke atas lawan mereka dalam perlawanan pembukaan UEL.
AC Milan menang 1-5 di Austria
Andre Silva membuktikan kualiti beliau dengan menjaringkan hatrik dalam perlawanan menentang Austria Vienna. Pemain £34 juta ini beraksi pertama kali di kejohanan kelab Eropah selepas 4 tahun.
Milan yang berwajah baru selepas berbelanja sekitar £170 juta sangat dominan di dalam perlawanan ini. Mereka menguasai hampir 60% perlawanan. Melakukan 15 cubaan ke arah gol.
2 lagi gol Milan adalah menerusi Hakan Calhanoglu dan pemain gantian, Suso. Vienna mendapat gol saguhati menerusi tandukan deras Alexandar Borkovic.
Kemenangan ini penting untuk Milan melupakan kekalahan besar mereka di tangan Lazio sebelum ini. Selepas ini Milan akan beraksi menentang Udinese dalam usaha mereka menjadi pesaing kejuaraan Serie A.
Lazio bangkit untuk menang 2-3
Satu lagi pasukan dari Itali, Lazio juga mencatatkan kemenangan di tempat lawan apabila menang 2-3 ke atas Vitesse. Tuan rumah di hadapan menerusi penyerang baru mereka Tim Matavs pada minit ke-33.
Parolo menyamakan kedudukan pada minit ke-51. Namun begitu, Vitesse sekali lagi mendahului menerusi Bryan Linsen pada minit ke-57.
Selepas itu, Lazio memberikan respon luar biasa untuk menjaring 2 gol. Gol pertama menerusi Immobile pada minit ke-67 untuk menyamakan kedudukan kali kedua.
Alessandro Murgia memastikan Lazio membawa pulang 3 mata dengan gol ke-3 pada minit ke-75.