Presiden Persatuan Perubatan Sukan Malaysia, Prof Madya Dr Abdul Halim Mokhtar, menyifatkan keputusan FAM dalam membatalkan saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), Piala Presiden dan Piala Belia sebagai wajar bagi menepati tatacara operasi standard Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedia ada.
Dr Abdul Halim yang juga Pensyarah Kanan Perubatan Sukan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya berkata, isu utama mendorong kepada pembatalan tersebut ialah kesukaran mengenakan garis panduan ketat untuk kejohanan yang dianjurkan secara terbuka.
“Tentu sekali faktor utama dalam membuat keputusan ini ialah membendung penularan wabak COVID-19 dalam apa cara sekalipun.
“Kami percaya ini menjadi asas pertimbangan FAM dengan mengambil kira bahawa Piala Presiden dan Piala Belia yang disertai pasukan negeri rata-rata diadakan di padang terbuka.”
”Dan adalah sukar untuk menyediakan satu ruang yang selamat untuk semua pemegang taruh, pemain, pasukan, pegawai dan petugas perlawanan.”
“SOP MKN juga jelas mengkategorikan bola sepak sebagai sukan bersentuhan dan tidak dibenarkan diadakan ketika ini, kecuali dalam bentuk “tiada sentuhan secara langsung”,’ kata Dr Halim.
Ditanya perbandingan di antara Liga Super dan Liga Premier dengan saingan belia serta MPFL, Dr Halim menyifatkan pertandingan peringkat elit yang dianjurkan dalam stadium memudahkan untuk SOP ketat dipatuhi semua pihak.
“Jika kita lihat Bundesliga dan Liga Korea Selatan, liga boleh dijalankan dengan syarat ia mematuhi SOP yang ketat. Keutamaan kita adalah kesihatan dan keselamatan pemain, petugas, penonton dan semua pihak yang terlibat.”