“Abaikan Provokasi Media Indonesia” – Cheng Hoe Mahu Pemain Hanya Fokus Kepada Perlawanan

Tan Cheng Hoe Malaysia Piala AFF 2020 panggilan kecemasan

Abaikan provokasi daripada media Indonesia dan terus fokus kepada perlawanan yang bakal ditempuhi nanti. Itulah antara perkara yang Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya lakukan menjelang perlawanan menentang Indonesia pada 19 Disemb nanti.

Perlawanan menentang Indonesia pada 19 Disember nanti merupakan perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B untuk skuad Harimau Malaya, dan merupakan perlawanan wajib menang bagi pasukan negara sekiranya mengimpikan slot ke separuh akhir Piala AFF 2020.

Selepas tiga perlawanan yang dilalui, Malaysia setakat ini telah merekodkan dua kemenangan, menewaskan Kemboja 3-1 dalam perlawanan pembukaan, dan membelasah Laos 4-0.

Pasukan negara bagaimana pun tewas 3-0 kepada Vietnam pada perlawanan ketiga – menjadikan situasi terkini di dalam Kumpulan B menjadi sukar, dan skuad kendalian Tan Cheng Hoe tidak mempunyai pilihan lain, selain daripada meraih kemenangan pada perlawanan menentang Indonesia nanti.

Elak termakan provokasi

Mengulas laporan-laporan media Indonesia yang seolah-olah memulakan ‘perang psikologi’ menjelang perlawanan terpenting untuk kedua-dua pasukan itu, Tan Cheng Hoe berkata beliau hanya mahukan barisan pemain sedia ada hanya fokus kepada perkara di dalam padang, dan usah termakan provokasi media dari seberang.

“Saya rasa pengalaman yang lepas, [setiap kali] menjelang perlawanan menentang Indonesia [pasti] akan ada pelbagai andaian dan provokasi daripada media Indonesia,” kata Tan Cheng Hoe.

Piala AFF 2020

“Tetapi seperti yang [dikatakan] dalam post-mortem dengan pemain, kita beritahu [agar] hanya fokus kepada perlawanan [yang dihadapi] kerana perkara di luar padang itu adalah di luar kawalan kita.

“Jadi yang penting, kita [pasukan] hanya [memberikan] fokus kepada perlawanan sahaja.”

Apa yang dikatakan oleh Tan Cheng Hoe ada betulnya. Walaupun menjelang perlawanan menentang Vietnam pada hari ini, fokus sebahagian media Indonesia hanya tersasar kepada pasukan Malaysia.

Antara dakwaan tidak berasas media Indonesia adalah pihak penganjur Piala AFF mengamalkan berat sebelah apabila memaksa pemain pertahanan, Elkan Baggott untuk menjalani kuarantin hanya kerana menaiki pesawat yang sama dengan salah seorang penumpang dari London ke Singapura.

Anehnya, arahan tersebut dikeluarkan oleh kerajaan Singapura dan tidak berkaitan dengan penganjur kejohanan. Media Indonesia turut mempersoalkan mengapakah pemain seperti Safawi Rasid tidak perlu menjalani kuarantin walaupun merupakan kontak rapat kepada Akhyar Rashid.

Harimau Malaya diperkuatkan kembali

Selepas agak tempang dalam beberapa perlawanan lalu, skuad Harimau Malaya kini boleh menarik nafas lega apabila tiga pemain iaitu pemain sayap, Faisal Halim; bek kanan, Quenting Cheng; dan penjaga gol, Khairulazhan Khalid sudah memulakan latihan bersama pemain lain pada hari ini.

Tan Cheng Hoe turut mengesahkan pemain pertahanan yang berpengkalan di Denmark bersama kelab FC Midtjyland, Dion Cools akan tiba di Singapura pada esok pagi.

Ketibaan Dion Cools sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepada kem negara yang terpaksa melupakan khidmat Aidil Zafuan dan Shahrul Saad yang mengalami kecederaan harmstring.

Cools dijangka akan digandingkan bersama Darren Lok di bahagian pertahanan pada perlawanan seterusnya

Tempoh rehat beberapa hari juga akan memberi ruang kepada seorang lagi pemain, Junior Edlstal untuk pulih daripada kecederaan otot perut, dan bersedia untuk perlawanan menentang Indonesia.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN