Quantcast

BERITA

B. Sathianathan Sah Kekal Sebagai Pengendali Red Giants

Ketua Jurulatih Selangor pada musim ini, B. Sathianathan sah akan dikekalkan sebagai untuk mengendalikan skuad The Red Giants bagi menghadapi saingan Liga Malaysia pada musim hadapan.

Perkara itu diumumkan melalui satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sebentar tadi.

“Keputusan untuk meneruskan khidmat Coach Satia bukan satu keputusan yang mudah dan ia merupakan keputusan bersama yang telah mendapat persetujuan majoriti jawatankuasa Liga Profesional FAS (FAS Pro-League).

“Sebagai permulaan, Coach Satia merupakan jurulatih Selangor FA yang mempunyai peratusan kemenangan paling tinggi sejak musim 2016 (tahun selepas Selangor FA memenangi kejuaraan Piala Malaysia pada musim 2015). Tambahan pula, Coach Satia juga adalah antara jurulatih Selangor yang mempunyai peratusan kekalahan paling rendah untuk tempoh yang sama.

“Coach Satia telah memperoleh pencapaian sedemikian walaupun berhadapan dengan pelbagai kekangan di luar kawalan terutamanya semasa awal musim ini. Kekangan tersebut termasuk kekurangan masa untuk mengenalpasti pemain yang diperlukan pasukan dan bilangan kecederaan yang dihadapi oleh para pemain tonggak pasukan.

“Harus diingat bahawa biarpun pemain utama pasukan ini dilanda kecederaan jangka masa panjang, Selangor telah menjadi pasukan kedua paling banyak menjaringkan gol dalam carta liga dan semua ini bukanlah berlaku secara kebetulan, tetapi dari aspek taktikal yang telah ditetapkan oleh Coach Satia,” ujar kenyataan tersebut.

Johan Kamal

Dr. Johan Kamal

Sebelum ini timbul tanya akan nasib bekas jurulatih pasukan kebangsaan itu selepas cabaran Selangor di Piala Malaysia terkandas di peringkat separuh akhir.

Sathianathan di lantik sebagai pengendali pasukan Liga Malaysia pasukan Selangor pada awal musim selepas dua musim bersama Felda United sebelum itu.

Selain daripada separuh akhir Piala Malaysia, jurulatih bersuara lantang ini berjaya membawa Selangor mengakhiri saingan Liga Super di tangga ketiga pada musim pertamanya – hanya di belakang Pahang dan JDT – dengan skuad serba baharu.

Dr. Johan Kamal Hamidon ketika bercakap kepada Stadium Astro dalam satu laporan berkata:

“Serangan kita sudah bagus, kita bermasalah di pertahanan jadi Coach Sathia tahu apa yang perlu beliau lakukan. Kami juga sudah mengenal pasti pemain yang akan dibawa masuk samaada import atau tempatan. Mungkin satu atau dua sahaja.

“Kami telah membuat kerja sejak dua bulan lalu dan menandatangani [semula] tiga ke empat pemain untuk tahun depan, secara amnya, pasukan Selangor sudah bersedia untuk musim depan,” kata Johan menurut laporan Stadium Astro.