Perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah 2017/18 sudah hampir seminggu meninggalkan seluruh peminat bola sepak dunia, namun kisah kesilapan penjaga gol Liverpool, Loris Karius terus menjadi tajuk perbincangan hingga ke hari ini.
Selepas David James tampil untuk menyatakan sokongan terhadap Karius, kali ini seorang lagi bekas penjaga gol The Reds, Bruce Grobbelaar menyatakan pendirian yang sama.
Grobbelaar beraksi untuk Liverpool dari tahun 1981 hingga 1994 dan telah menjadi kesayangan para penyokong, mahukan peluang kedua diberikan kepada Karius untuk memperbetul dan menebus kesilapannya seperti apa yang dihadapi Grobbelaar (melakukan kesilapan dan bangkit semula) ketika zamannya.
Ikon Liverpool itu bercakap kepada BBC, ”Mereka (Liverpool) memberikan peluang kedua kepada saya, jadi kenapa tidak mereka berikan peluang kedua selepas satu perlawanan?”
”Mereka perlu memastikan dia menjadi tumpuan pada musim hadapan.”
Grobbelaar yang kini berusia 60 tahun turut mengatakan bahawa Karius akan menjadi sangat bernilai untuk beberapa tahun lagi.
”Karius akan menjadi penjaga gol yang bernilai dalam saingan Liga Perdana Inggeris buat beberapa tahun akan datang.”
”Dia hanya bernilai £4 juta dibawa dari Mainz, dia akan menjadi besar kerana dia telah meningkat sejak Virgil Van Dijk mengepalai jentera pertahanan pasukan.”
Grobbelaar turut berpendapat bahawa Jurgen Klopp perlu melabur untuk posisi di bahagian lain daripada cuba mendapatkan penjaga gol baharu.
”Liverpool boleh memenangi Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan tetapi dua pemain lagi perlu ditambah ke dalam pasukan.”
”Mereka memerlukan seorang pertahanan tengah dan seorang penyerang.”