Baru-baru ini Kerajaan telah mengumumkan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 di Russia akan disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata perincian mengenai pemilihan perlawanan akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Beliau turut menjelaskan peruntukan kos untuk siaran Piala Dunia 2018 hanya melibatkan RM30 juta dan bukan RM40 juta sebagaimana diumumkan sebelum ini.
Bagi menampung RM30 juta berkenaan, pihaknya telah mendapat tajaan sebanyak RM15 juta untuk separuh kos berkenaan.
“Kita telah mendapat surat dari Sports Media and Distribution untuk penyiaran 41 perlawanan Piala Dunia 2018 dengan kos keseluruhan RM30 juta,” katanya dalam sidang akhbar.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan telah bersetuju untuk penyiaran berkenaan kerana ia diadakan empat tahun sekali dan telah diberikan kelonggaran .
“Peruntukan untuk Piala Dunia diluluskan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan ia hanya empat tahun sekali,” katanya.
Piala Dunia 2018 berlangsung bermula 14 Jun hingga 15 Julai depan. Penyiaran di RTM ini menjadi berita gembira terutamanya buat peminat bola sepak yang tidak berkemampuan untuk melanggan siaran televisyen satelit dan berbayar.
Walaupun Malaysia tidak pernah beraksi dalam saingan paling berprestij itu, sambutan hangat tetap diberikan oleh para peminat untuk tidak terlepas bagi menonton aksi bola sepak berkelas dunia yang berlangsung setiap empat tahun itu.